Pemutihan atasi penyelewengan baja subsidi

Phahrolrazi (tiga dari kiri) menyampaikan anak pokok kepada penerima selepas merasmikan Program Reformasi Peladang Rantau Panjang di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Lati.
Phahrolrazi (tiga dari kiri) menyampaikan anak pokok kepada penerima selepas merasmikan Program Reformasi Peladang Rantau Panjang di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Lati.
A
A
A

RANTAU PANJANG - Proses pemutihan keluasan tanaman padi menjadi saranan baharu yang akan diperkenalkan kepada agensi pertanian di negara ini dalam usaha mengawal penyelewengan dan ketirisan dalam agihan baja subsidi.

Agensi yang dimaksudkan itu ialah Kemajuan Pertanian Muda (Mada), Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (Kada) dan Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP).

Pengerusi Ahli Jemaah Pengarah Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas), Datuk Phahrolrazi Mohd Zawawi berkata, saranan itu merupakan alternatif terbaik dalam mengekang masalah tersebut yang dilihat sudah lama berlaku.

“Kita mendapat maklumat Mada sudah pun mulakan proses pemutihan bagi mengenal pasti keluasan tanaman padi.

“Nafas berharap Kada dan LPP melakukan perkara sama. Hal ini kerana kami hanya membekalkan subsidi baja berdasarkan permintaan yang diterima,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Program Reformasi Peladang Rantau Panjang di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Lati, di sini hari ini.

Tanpa berselindung, Phahrolrazi mengakui ada sesetengah pesawah yang menjadi penerima sudah tidak mengusahakan tanaman padi dan mungkin tanah berkenaan sudah dibangunkan rumah.

Namun katanya, nama mereka masih berada dalam rekod sebagai penanam padi.

Artikel Berkaitan:

“Bagi mereka yang menyalahgunakan baja iaitu menjual kepada pesawah lain, setakat ini kita belum mengambil tindakan kerana Nafas bukan pasukan penguatkuasaan,” katanya.

Sinar Harian difahamkan ketiadaan data lengkap jumlah petani aktif dipercayai menyebabkan kerajaan kerugian jutaan ringgit setiap tahun akibat ketirisan dan penyelewengan dalam agihan subsidi baja.

Mengikut rekod, terdapat 155,000 pesawah di seluruh negara namun difahamkan jumlah mereka yang aktif dengan keluasan kawasan yang diusahakan tidak dikemaskini sejak 20 tahun lalu.

Ini antara faktor menyebabkan ada pihak tertentu menggunakan kesempatan akibat kelemahan pengumpulan data berkenaan dengan menyeleweng baja subsidi.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!