KLIA kekuatan utama Sepang: Amirudin
SEPANG - Sepang sewajarnya menjadi salah satu destinasi pelancongan utama dengan adanya Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari berkata, kekuatan utama adalah dengan adanya KLIA yang menjadi pintu keluar masuk dalam negara dan seharusnya Sepang dapat menggamit pelancong untuk datang.
"KLIA menjadi salah satu daya penarik utama sekali gus mampu menarik pelancong untuk berkunjung.
"Bukan itu saja malahan Sepang turut dikenali dengan pelbagai keunikannya sama ada dari sudut alam semula jadinya, suasana desa yang damai dan menenangkan serta kepelbagaian makanan terutamanya makanan laut dan buah naga.
"Ini sememangnya sudah dikenali dan kita hanya dalam usaha melebarkannya," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Majlis Pelancaran Tahun Melawat Sepang dan Festival Kebudayaan dan Warisan di KLIA di sini.
Katanya, inisiatif untuk memperkenalkan keunikan dan menggamit pelancong ini sebenarnya telah dilaksanakan sebelum ini lagi.
"Sebenarnya kita dah mulakan inisiatif ini awal mulai tahun ini lagi," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!