KUALA LUMPUR - Cubaan gadis pelayan pelanggan (GRO) cuba meloloskan diri selepas menyedari serbuan polis hanya sia-sia. Percubaan itu berjaya dipatahkan sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, menerusi Ops Noda di sebuah pusat hiburan di Jalan Solaris semalam. Pegawai Turus D7 Kuala Lumpur, Deputi Superintendan Rohazah Alwi berkata, operasi dijalankan kira-kira jam 11.10 malam bertindak hasil maklumat dan risikan. “Operasi ini berjaya menahan seramai 21 GRO warga asing berusia lingkungan 21 hingga 47 tahun. Semakan mendapati dua daripada mereka adalah warga Laos dan selebihnya warga Thailand. “Seorang lelaki tempatan berusia 48 tahun disyaki pengurus premis turut ditahan selain rampasan resit jualan dan wang tunai,” katanya kepada Sinar Harian. Dalam pada itu, operasi turut memeriksa terhadap seramai 32 lelaki merupakan pengunjung pusat hiburan terbabit bagi proses dokumentasi. Rohazah berkata, kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 55B Akta Imigresen Peraturan 39(b) Peraturan-peraturan Imigresen 1963.