Tentera udara AS hantar pesawat tempur F-22 ke Qatar

Pesawat tempur F-22 Raptor Tentera Udara AS bersedia untuk mendarat di Pengkalan Udara Al Udeid di Qatar pada 27 Jun lalu. - Foto Ashley Gardner/ Tentera AS
Pesawat tempur F-22 Raptor Tentera Udara AS bersedia untuk mendarat di Pengkalan Udara Al Udeid di Qatar pada 27 Jun lalu. - Foto Ashley Gardner/ Tentera AS
A
A
A

WASHINGTON - Tentera Udara Amerika Syarikat (AS) dilaporkan menghantar pesawat tempur F-22 ke Qatar untuk kali pertama sekali gus memantapkan kekuatan tenteranya di Teluk ketika ketegangan dengan Iran dilihat semakin memuncak.

"Pesawat tempur F-22 Raptor Tentera Udara AS dihantar untuk mempertahankan pasukan tentera AS dan kepentingannya," kata kenyataan Pusat Perintah Tentera Udara AS semalam yang tidak menyatakan bilangan pesawat yang telah dihantar.

Bagaimanapun, sekeping gambar yang dikongsikan menunjukkan terdapat lima pesawat F-22 terbang di ruang udara Pengkalan Udara Al Udeid, Qatar.

Konfrontasi Teheran dan Washington semakin meningkat sejak Presiden Donald Trump menarik diri daripada perjanjian nuklear tahun 2015 dan mengenakan pelbagai sekatan terhadap Iran.

Ketegangan terus memuncak apabila Iran menembak jatuh dron pengintip tentera laut AS, RQ-4 Global Hawk pada minggu lalu dan tuduhan dibuat Washington ke atas Teheran yang mendakwa negara itu mendalangi serangan ke atas kapal komersial di perairan Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Teluk Oman.

Perang mulut terus berlanjutan setelah Trump mengenakan sekatan baharu terhadap Pemimpin Agung Iran, Ayatollah Ali Khamenei dan Menteri Luar, Mohammad Javad Zarif.

Iran pula mengugut untuk menggugurkan beberapa komitmennya di bawah perjanjian nuklear tahun 2015 melainkan rakan perjanjian termasuk Britain, China, Perancis, Jerman dan Rusia menolongnya mengelak sekatan AS. - AFP/ Agensi

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!