Gangguan kesihatan di Pasir Gudang tak jejas persiapan Sukma

No Image Caption
A
A
A

BATU PAHAT - Insiden gangguan kesihatan dan pencemaran Sungai Kim-Kim di Pasir Gudang tidak menjejaskan penganjuran Sukan Malaysia (Sukma) yang kini memasuki 90 peratus persiapannya termasuk satu venue di kawasan Pasir Gudang.

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Johor, Sheikh Umar Bagharib Ali berkata, venue di Pasir Gudang akan melibatkan acara gimnastik, yang dijadual berlangsung di Stadium Tertutup Pasir Gudang.

Setakat ini, kerajaan negeri mendapati tiada masalah bagi gimnastik diadakan di Pasir Gudang kerana ia sukan di dalam dewan dan bukannya di tempat terbuka.

"Kalau ada apa-apa masalah nanti, kita akan maklumkan tetapi setakat ini tiada perubahan venue untuk Sukma yang akan diadakan di tiga daerah iaitu Johor Bahru, Muar dan Kota Tinggi.

"Kita harapkan tiada apa-apa lagi perkara yang serius berlaku di sana (Pasir Gudang) dan venue yang lain agar Sukma ke-20 dapat berjalan seperti yang dirancangkan,” katanya kepada pemberita selepas majlis Sambutan Hari Belia Negara 2019 peringkat Johor, di Dataran Penggaram, di sini hari ini.

Menurut Sheikh Umar, selain persiapan venue Sukma, pihaknya sedang giat mencari para sukarelawan Sukma, Para Sukma dan Sukan Orang Pekak Malaysia (Sopma).

Beliau berkata, 3,000 sukarelawan diperlukan untuk ketiga-tiga kejohanan dwi tahunan berkenaan dan mulai hari ini, para belia khususnya boleh mendaftar secara dalam talian di laman web sukarelawansukmajohor.my.

"Bagi sukarelawan ini, kita menyasarkan golongan belia berumur antara 15 dan 40 tahun terutamanya pelajar sekolah dan mahasiswa daripada mana-mana institusi pengajian tinggi di negeri ini.

Artikel Berkaitan:

"Kita juga dalam masa sama, merancang mengadakan kursus khas untuk para sukarelawan berkenaan, di mana selewat-lewatnya kita akan adakan pada April tahun hadapan,” katanya. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!