Menangani murid bermasalah

A
A
A

TULAR baru-baru ini isu seorang murid yang mengejek gurunya lalu dirotan oleh guru tersebut. Pelbagai reaksi dizahirkan banyak pihak sama ada menyokong murid tersebut atau menyebelahi guru itu.

Kementerian Pendidikan juga dilaporkan telah menubuhkan pasukan bagi menyiasat kejadian tersebut.

Tidak kurang juga ada yang mencaci kedua belah pihak tanpa mengambil kira perasan kedua belah pihak jika membaca cacian mereka tersebut.Insiden itu mestilah diteliti daripada semua sudut, tidak hanya dengan menyiasat perbuatan guru tersebut merotan muridnya.

Tindakan terdahulu murid tersebut bukan sekadar menegur tetapi mengejek guru itu mestilah diteliti sama ada ia kali pertama berlaku, kenapa ia berlaku dan kenapa sikap murid itu menjadi sebegitu.

Secara umumnya pada pandangan saya, sekolah bukanlah pusat pembelajaran pertama yang dihadapi pelajar tetapi rumah adalah tempat pertama semua kanak-kanak mendapat pendidikan.

Oleh yang demikian perlulah juga ditekankan peranan ibu bapa mendidik anak-anak mereka sebelum mereka mencapai umur persekolahan.

Memang menimba ilmu itu penting untuk masa depan seseorang namun adab juga tidak boleh dipinggirkan.

Oleh yang demikian sudah sampai masanya penekanan dalam aspek adab perlu diberikan perhatian.

Artikel Berkaitan:

Dalam era di mana guru-guru dilarang memberi hukuman menyentuh fizikal murid, kita dapati seolah-olah murid mahu mencabar kesabaran guru dalam pelbagai isu.

Guru mungkin dilatih khusus dalam pedagogi pendidikan tetapi tidak semua dilatih di dalam menghadapi murid bermasalah. Sebab itu guru sebagai insan biasa terpaksa menanggung beban dan tekanan dengan pengajaran, pentadbiran sekolah dan hal-hal lain yang tidak berkaitan dengan pengajaran.

Adalah sangat tidak wajar jika tindakan hanya diambil terhadap guru tersebut tanpa mengambil kira apa sebenarnya yang berlaku antara mereka. Keluarga juga perlu dilibatkan di dalam siasatan yang dilakukan Kementerian Pendidikan. Mudah-mudahan hal sebegini tidak berulang lagi.

Penting juga jika suatu garis panduan dibuat bagi menangani situasi seperti ini. Adakah dengan merotan langsung tidak boleh digunakan oleh para guru ataupun terhadap had yang dibenarkan? Bagaimana pula guru mahu mengendalikan murid bermasalah dengan efektif.

Dalam masa sama, elemen kerohanian juga perlu diberikan keutamaan kerana pendidikan berbentuk spiritual akan dapat membentuk adab yang baik dalam kalangan pelajar.

Murid-murid pada hari ini adalah pemimpin masa akan datang. Jika kebajikan mereka tidak dijaga pada masa ini ataupun pendidikan diberikan tidak dapat membentuk jiwa yang cemerlang. Kecemerlangan akademik semata-mata tidak menjamin adab yang baik dalam kalangan pelajar. Semua pihak perlulah membimbing para murid bagi mencorakkan masa hadapan mereka.

Perlu diingatkan kejayaan akademik semata-mata tidak menjamin kesejahteraan sebenar dalam kehidupan ini.

Pencapaian akademik ini perlu disulami dan diisi juga dengan nilai moral, adab tertib, insaniah dan kerohanian. Jauhilah sifat mengejar material keduniaan dan jangan dikejar dunia itu kerana dunia tidak akan lari, biarlah dunia yang mengejar kita.

Dunia ini bagai lautan yang luas, kita adalah bahtera yang belayar di lautan tersebut. Kadang-kadang belajar mengikut arus di kala lain pula menongkah arus. Ada ketikanya terpaksa melabuhkan sauh dan ada ketikanya berpatah arah. Telah banyak bahtera yang gagal dikemudi nakhoda menyebabkan ia karam atau rosak.

Bagi orang Islam andai muatan kita adalah iman, layarnya adalah Islam sauhnya pula adalah takwa nescaya kita akan selamat sampai ke destinasi dan tidak tersesat di lautan kehidupan ini. Adalah amat penting mereka mencipta swadaya diri dan kental menghadapi segala cabaran yang bakal dilalui.

Pelajar juga perlu dibekalkan dengan pelbagai ilmu bagi menghadapi kehidupan pada masa akan datang yang lebih mencabar berbanding alam yang mereka sedang hadapi sekarang sebagai pelajar.

Prinsip Rukun Negara perlu diterapkan dalam kalangan pelajar. Ia bukan hanya perlu menjadi dekorasi pada kulit buku latihan pelajar atau hanya dilaungkan di perhimpunan sahaja tetapi ia perlu dihayati dan diamalkan. Kelima-lima prinsip Rukun Negara tersebut perlulah disemai di dalam jiwa para pelajar supaya ia dapat diamalkan.

Berbalik kepada isu menangani murid bermasalah saya berpandangan suatu tindakan yang komprehensif mesti diambil bagi menyelesaikan isu ini dengan tuntas supaya isu yang tular baru-baru ini tidak berulang lagi.

Mengambil tindakan terhadap satu pihak sahaja tidak akan menyelesaikan permasalahan sebegini jika timbul lagi pada masa akan datang.Pencapaian akademik ini perlu disulami dan diisi juga dengan nilai moral, adab tertib, insaniah dan kerohanian."

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!