Isu air minuman tercemar bakteria dalam siasatan

 Lee Boon Chye
Lee Boon Chye
A
A
A

KUALA LUMPUR - Siasatan sedang dijalankan ke atas air minuman dalam botol dari sebuah syarikat pengeluar Malaysia yang dilarang masuk ke Singapura kerana didapati mengandungi bakteria.

Timbalan Menteri Kesihatan, Dr Lee Boon Chye berkata, lebih banyak maklumat diperlukan untuk melakukan siasatan dan kementerian mendapati pengeluar berkenaan turut mempunyai beberapa produk yang dijual di pasaran tempatan.

“Kami perlukan lebih banyak maklumat mengenai produk berkenaan, kelompok mana yang terjejas dan punca masalah. Jika produk yang dijual di pasaran tempatan terjejas, kami akan memanggil balik produk berkenaan, “ katanya dalam satu sidang akhbar di majlis makan malam Persekutuan Persatuan Penjual Sayur-Sayuran dan Pemborong Sayur-Sayuran Kuala Lumpur, di sini malam tadi.

Semalam, Agensi Makanan Singapura (SFA) berkata, import kesemua air minuman dan air mineral dalam botol daripada pengeluar itu tidak dibenarkan, dengan serta merta selepas ia mengesan Pseudomonas aeruginosa, sejenis bakteria yang selalunya ditemui pada najis, tanah, air dan kumbahan buat kali kedua.

Boon Chye berkata, jika didapati bersalah, tindakan wajar akan dikenakan ke atas pengeluar terbabit mengikut Akta Makanan 1983.

Sementara itu, Kementerian Kesihatan sedang bekerja sama rapat dengan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani untuk menggalakkan semua industri berkaitan untuk menggunakan sistem jejak dan kesan bagi memastikan produk makanan adalah suci dan selamat.

“Dengan sistem jejak dan kesan, kami boleh memastikan proses pengagihan produk makanan, daripada pembungkusan ke logistik sehingga penghantaran adalah selamat.

Daripada sistem itu, sekiranya ada masalah tentang kebersihan berlaku, kami perlu memanggil balik untuk melihat di mana produk itu telah pergi dan pasaran atau cawangan mana dan dari sana kami boleh mengesan puncanya,” kata beliau.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, sistem jejak dan kesan juga penting untuk perniagaan eksport makanan yang mana negara lain menerima makanan dari Malaysia, selain sebagai satu garis panduan bagi memastikan produk yang dikeluarkan adalah selamat. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!