Pesalah cilik 'ditahan' polis
FLORIDA - Video seorang anggota polis di Florida, Amerika Syarikat menahan anak perempuannya kerana 'memandu' di laluan salah menjadi tular.
Apa yang menarik, anaknya itu baru berusia 10 bulan dan hanya menaiki sebuah kereta mainan.
Alex Kipp yang dalam perjalanan pulang setelah tamat bekerja ternampak anaknya Talynn 'memandu' di laluan salah di kawasan kediaman mereka.
Tindakan Kipp mengarahkan Talynn berhenti lalu meminta 'lesen memandu' anaknya itu mencuit hati ramai.
Gelagat anak kecil itu yang tertawa gembira melihat bapanya turut menghiburkan.
Ibu Talynn, Chelle Elizabeth yang memuat naik video itu di laman Facebook berkata, insiden tersebut tidak dirancang kerana dia hanya memberitahu suaminya mereka keluar berjalan-jalan di kawasan rumah.
Video yang kemudian dikongsi Jabatan Polis Orlando itu menjadi tular dan berita baiknya, 'pesalah' cilik itu tidak dikenakan hukuman. - Indian Express
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!