Majoriti pelajar persendirian Malaysia di Indonesia tak miliki insurans
JAKARTA - Majoriti pelajar persendirian Malaysia di Indonesia tidak memiliki skim insurans perlindungan diri.
Bakal Duta Besar Malaysia di Indonesia, Zainal Abidin Bakar berkata, ibu bapa terbabit perlu sedar bahawa anak-anak mereka juga terdedah dengan pelbagai risiko kemalangan, jatuh sakit atau terkesan akibat kejadian bencana.
"Kos rawatan perubatan di Indonesia agak mahal, saya meminta ibu bapa yang menghantar anak mereka belajar di pusat- pusat pengajian di Indonesia, memiliki skim insurans perubatan atau perlindungan diri," katanya kepada Bernama.
Pengarah Education Malaysia di Indonesia (EMI), Prof Madya Dr Mior Harris Mior Harun berkata sebanyak 3,438 pelajar Malaysia di Indonesia yang berdaftar dengan EMI, 2,707 daripadanya adalah pelajar persendirian yang majoritinya tidak memiliki insurans.
Dr Mior Harris berkata, terdapat beberapa kes pelajar persendirian yang terbabit kemalangan dan dirawat di hospital di Indonesia yang membabitkan kos yang tinggi.
"Pada tahun 2019 misalnya, seorang pelajar Malaysia terbabit kemalangan di Medan, kos rawatan RM60,000.
"(Tahun 2018) Dua pelajar maut dalam kemalangan di Ponorogo dan Pekan Baru. Kos membawa pulang jenazah sekitar RM15,000, dan pada 2016, sebanyak 155 pelajar terbabit dalam evakuasi akibat letusan Gunung Berapi Agung di Bali, membabitkan kos RM47,000.
"Pada tahun 2015, sebanyak 250 pelajar Malaysia terbabit dalam proses pemindahan dari Padang dan Jambi ke Pekan Baru akibat kejadian jerebu membabitkan kos RM60,000," katanya.
Beliau berkata berikutan pelajar-pelajar terbabit tidak memiliki insurans, EMI mengambil tanggungjawab menguruskan permohonan pampasan dengan Jasa Raharja (Badan Pemerintah Indonesia untuk pampasan akibat kemalangan).
Selain itu EMI juga menggerakkan kutipan sumbangan dari orang ramai, agensi-agensi di kedutaan, syarikat- syarikat Malaysia dan memohon bantuan zakat bagi menampung kos berkenaan. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!