Pendaki warga emas ditemukan selepas seminggu hilang
CALIFORNIA - Pasukan penyelamat semalam berjaya menemukan seorang pendaki berusia 73 tahun yang hilang selama seminggu di sebuah hutan di California.
Eugene Jo terpisah daripada kumpulan pendaki yang mendaki Hutan Negara Angeles di selatan California pada 22 Jun lalu.
Pasukan mencari dan menyelamat Montrose berkata, Jo ditemukan selamat dan berupaya untuk bercakap dan berjalan bersama pasukan penyelamat.
Menurut muat naik pasukan penyelamat di laman Twitter, warga emas terbabit tidak makan selama lima hari dan hanya meminum air sungai.
Pasukan penyelamat berkata, lebih 70 orang dikerah bagi mencari mangsa.
Jo yang tidak mengalami kecederaan traumatik kemudian diterbangkan ke sebuah hospital, lapor CNN memetik Jabatan Sheriff Los Angeles. - AFP
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!