Peralihan kuasa PM, Anwar akui tersinggung

Anwar (tengah) merasmikan Wisma PKR Pulau Pinang di Bayan Baru tadi.
Anwar (tengah) merasmikan Wisma PKR Pulau Pinang di Bayan Baru tadi.
A
A
A

BAYAN BARU - Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim mengakui tersinggung dengan laporan yang sering kali memberi penekanan terhadap peralihan kuasa antara beliau dengan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Menurutnya, isu transisi Perdana Menteri antara beliau dan Dr Mahathir dilihat menjadi masalah besar kepada banyak pihak sedangkan beliau sendiri tidak merasakan ia satu bebanan.

"Isu transisi ini tidak menjadi masalah kepada saya kerana yang penting adalah PH tetap pada landasannya iaitu menjadi demokrasi, membanteras rasuah dan menolak penyalahgunaan kuasa. Ini yang perlu kita pertahankan.

"Kita juga perlu beri ruang kepada Dr Mahathir untuk mengemudi PH dan Malaysia dalam keadaan yang sukar ini. Jika ditakdirkan saya jadi Perdana Menteri, kita jalankanlah. Saya tersinggung dalam laporan yang banyak cerita Anwar dan Mahathir sedangkan apa yang utama adalah apa yang kita janjikan ditunaikan," katanya.

Ahli Parlimen Port Dickson itu berkata demikian ketika menyampaikan ucapan perasmian Wisma PKR Pulau Pinang di sini tadi.

Turut hadir, Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, Pemangku Pengerusi PKR Pulau Pinang, Muhammad Bakhtiar Wan Chik serta pimpinan PKR negeri.

Tambahnya, beliau tidak akan mempertikai dengan mainan orang sekeliling berhubung isu tersebut kerana tetap dengan pendiriannya iaitu memberi ruang kepada Dr Mahathir untuk mentadbir negara dengan baik.

"Saya jumpa Mahathir setiap minggu dan sepanjang perjumpaan itu, tiada percanggahan atau pertembungan dengan beliau berhubung soal peralihan kuasa seperti yang ditafsirkan pihak luar. Soal peralihan kuasa ini menjadi masalah kepada orang luar, tetapi bukan kepada saya. Saya tidak pernah mempertikai keikhlasan Dr Mahathir, namun ini tidak mematikan pandangan negatif.

Artikel Berkaitan:

"Dalam kalangan pemimpin PH juga tidak berganjak daripada janji yang kita sepakati, tidak ada perebutan sama ada harus lambat atau cepat, mereka menyerahkan kepada kebijaksanaan Dr Mahathir dan saya. Saya tidak mempertikai permainan orang di sekeliling untuk menganggu gugat proses peralihan kuasa ini," katanya.

Dalam perkembangan lain, Anwar menafikan wujud perpecahan dalam PKR seperti yang dilaporkan dalam media pada waktu ini.

"Tiap-tiap hari ada laporan menyatakan wujud perpecahan dalam PKR. Malah ada perbandingan gabungan UMNO-Pas dengan PKR. Saya tak tahu pecah di mana. Di sini, saya jumpa dengan semua pimpinan PKR Pulau Pinang dan dalam mesyuarat yang diadakan, semua bersetuju dan bermuafakat.

"Sama juga semalam, saya ke Kedah, dan semua pimpinan hadir. Saya musykil, di mana yang dikatakan ada pepecahan besar. Jika ada berbeza pendapat, itu biasa. Mereka lupa wardah yang kita bawa iaitu demokrasi iaitu kita perlu beri ruang kepada perbezaan pendapat.

"Memberi dan menerima teguran termasuk saya, itu biasa. Berbeza pendapat adalah perlu ada dalam institusi atau parti yang demokratik. Saya harap dengan penjelasan ini, ia dapat membantu memberi gambaran keadaan parti yang sering kali dilaporkan mengalami pepecahan," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!