Korban kegilaan swafoto!

Gambar atas, jurugambar Nik Haliks tidak menghiraukan keselamatannya ketika mengambil swafoto berlatarbelakangkan gunung berapi Benbow manakala gambar bawah, trend mengambil swafoto berbahaya semakin membimbangkan.
Gambar atas, jurugambar Nik Haliks tidak menghiraukan keselamatannya ketika mengambil swafoto berlatarbelakangkan gunung berapi Benbow manakala gambar bawah, trend mengambil swafoto berbahaya semakin membimbangkan.
A
A
A

RIO DE JANEIRO - Swafoto yang menjadi sensasi global sejak sedekad lalu sebenarnya lima kali ganda lebih membunuh mangsa berbanding serangan jerung.

Angka kematian semakin meningkat pada setiap tahun memandangkan telefon pintar kini semakin canggih dan dalam masa sama memberi risiko lebih besar kepada pengguna.

Menurut Jurnal Perubatan Keluarga dan Penjagaan Utama India, data menunjukkan sekurang-kurangnya 259 maut ketika mengambil swafoto di seluruh dunia antara Oktober 2011 dan November 2017 berbanding hanya 50 yang terbunuh akibat serangan jerung dalam tempoh sama.

Walaupun wanita lebih banyak mengambil swafoto, lelaki sebenarnya adalah lebih terdedah kepada risiko tersebut kerana tiga perempat daripada jumlah kematian akibat swafoto melibatkan kes mati lemas, kemalangan atau terjatuh adalah golongan itu.

Di India yang mempunyai populasi lebih 1.3 bilion dan 800 juta pengguna telefon bimbit memegang rekod jumlah paling tinggi menjadi korban swafoto dengan 159 kematian dicatatkan setakat ini.

Jumlah tersebut adalah lebih separuh daripada jumlah global disusuli Rusia dengan 16 kematian manakala di Amerika Syarikat mencatatkan 14 kematian.

Di Moscow, kes melibatkan swafoto adalah individu yang terjatuh daripada jambatan dan bangunan tinggi.

Keadaan itu menyebabkan pihak berkuasa terpaksa mengeluarkan garis panduan ‘swafoto tanpa bahaya’ pada 2015.

Artikel Berkaitan:

Di Washington, kebanyakan insiden yang mengakibatkan maut akibat swafoto adalah ketika individu mahu mengambil gambar yang sempurna.

Sebagai contoh, beberapa kematian dilaporkan hanya kerana mahu mengambil swafoto berlatarbelakangkan tapak tinjau Grand Canyon di kawasan taman negara di Arizona.

Jumlah kematian yang semakin membimbangkan akibat swafoto menyebabkan perkhidmatan penyelamat Croatia menggunakan Twitter untuk meminta pelancong menghentikan tabiat mengambil swafoto ‘kurang bijak dan berbahaya’.

Langkah itu dibuat selepas seorang warga Kanada nyaris maut apabila terjatuh pada ketinggian 75 meter di Tasik Plitvice.

Walaupun ada swafoto yang tidak membawa maut, terdapat juga individu tidak bertanggungjawab mengambil swafoto di lokasi tidak sepatutnya seperti tempat dianggap suci bagi kepercayaan agama seseorang.

Selain itu, ada juga saksi kemalangan yang mengambil peluang berswafoto di tempat kejadian yang mana perbuatan itu disifatkan sebagai tidak sesuai atau tidak beretika.

Kini, kegilaan mengambil swafoto walaupun di lokasi pelancongan tidak lagi disenangi penduduk tempatan. Penduduk Picturesque Rue Cremieux di Paris mendakwa mereka sangat terganggu dengan pelancong yang terlalu obses mengambil swafoto di luar kediaman mereka.

Kumpulan penduduk itu kemudiannya membuka akaun clubcremieux di Instagram di mana mereka berkongsi gambar paling menjengkelkan dengan kapsyen bernada sindiran.

Situasi sama dihadapi penduduk di Hong Kong di mana penduduk di apartmen berwarna-warni di Quarray Bay hingga memaksa mereka meletakkan papan tanda larangan mengambil swafoto. - AFP

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!