Jari bengkak, bomba potong cincin
SUNGAI SIPUT - Seorang wanita warga emas terpaksa menahan kesakitan semalaman apabila jari manis tangan kanannya membengkak selepas cincin emas dipakainya gagal ditanggalkan.
Difahamkan wanita berusia 66 tahun tersebut sudah ke hospital berhampiran untuk mendapatkan rawatan namun jarinya masih bengkak serta cincinnya gagal ditanggalkan.
Ketua operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Siput, Pegawai Bomba Mohamad Fazli Mahalil berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 8.43 pagi, mengatakan bahawa terdapat seorang wanita gagal menanggalkan cincin emas di jari manisnya.
"Seramai enam anggota BBP Sungai Siput dikerahkan ke lokasi bagi membantu wanita berkenaan dan setibanya kami dilokasi cincin tersebut masih tidak dapat ditanggalkan manakala jari mangsa semakin membengkak.
"Anggota kemudiannya memotong cincin tersebut menggunakan peralatan khas sehingga cincin tersebut berjaya ditanggalkan sepenuhnya," katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini, hari ini.
Menurut Mohamad Fazli, jari manis mangsa tidak mengalami sebarang luka selepas cincin berjaya ditanggalkan oleh anggota bomba dan operasi tamat jam 9.32 pagi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!