Suami isteri terpisah kerana kerja: Majikan perlu main peranan
BANGI - Majikan perlu berperanan dalam menangani isu pasangan suami isteri yang hidup terpisah akibat tuntutan pekerjaan, kata Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.
Timbalan Perdana Menteri berkata antara lain, majikan boleh mengaplikasikan waktu kerja anjal bagi pekerja yang tinggal berjauhan dengan pasangan, sekali gus memberikan mereka lebih banyak masa bersama keluarga.
Sebagai contoh, katanya pekerja terbabit boleh diberikan lebih hari bercuti, selepas mereka melaksanakan atau memenuhi tempoh waktu bekerja minimum yang diperlukan dalam seminggu.
“Katakanlah waktu bekerja itu boleh dipanjangkan tiap-tiap hari dan jika dikumpul (tempoh jam bekerja dalam seminggu) dan anda sudah melakukannya, anda boleh bercuti.
"Dengan itu, pekerja yang duduk berjauhan dengan pasangan mempunyai masa yang lebih fleksibel untuk balik kepada keluarga," katanya kepada pemberita selepas menutup Program Khalifah Junior 2019 Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) di sini hari ini.
Beliau mengulas laporan akhbar semalam bahawa terdapat lebih 500,000 pasangan suami isteri di negara ini hidup terpisah, atau diistilahkan sebagai ‘keluarga komuter’ ekoran tuntutan pekerjaan.
Antara lain, laporan berdasarkan kajian Lembaga Pembangunan Penduduk dan Keluarga Negara (LPPKN) itu mendapati, golongan tersebut berisiko mengalami tekanan perasaan serta kemurungan, kerana perlu menggalas tugas menguruskan rumah tangga serta keluarga sendirian, manakala yang tinggal berjauhan dan sendirian pula berdepan kesunyian.
Dr Wan Azizah yang juga Menteri Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat berkata, kerajaan sememangnya mahu masalah itu ditangani tetapi bagaimana ia dilakukan terpulang kepada kebijaksanaan majikan.
Pasangan suami isteri yang tinggal berjauhan sehingga ada isteri yang menjadi isteri tahunan atau 'annual wife' tidak mengundang suasana yang baik dalam perkahwinan, katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!