Persatuan penduduk digalak anjur program bersama

Hannah Yeoh
Hannah Yeoh
A
A
A

KUALA LUMPUR - Persatuan penduduk digalakkan menjalankan program secara bersama dalam usaha meningkatkan perpaduan selain mengurangkan pembaziran wang, masa dan tenaga.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Hannah Yeoh berkata, usaha itu perlu dilakukan kerana perlu diberi pendedahan memandangkan masyarakat kini lebih cenderung bertemankan gajet berbanding keluar bersosial.

Mengambil contoh program Rumah Terbuka Aidilfitri anjuran Majlis Perwakilan Penduduk Segambut Sub Zon 1 dan 6, beliau menyatakan rasa kagum dengan semangat perpaduan ditampilkan penganjur meskipun kawasan itu majoritinya berbangsa Cina.

“Komposisi penduduk di sini adalah masyarakat Cina tapi mereka tetap mahu mengadakan sambutan hari raya. Mereka sanggup bermesyuarat sehingga lapan kali bagi menjayakan program ini.

“Ini satu trend bagus dan wajar diikuti semua pihak. Ini adalah salah satu usaha kecil untuk kita bergaul bersama mempelajari budaya masyarakat lain yang ada di negara ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri majlis itu yang turut dihadiri Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang juga merangkap Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

Dalam majlis itu, Dr Wan Azizah meluangkan masa kira-kira 30 minit beramah mesra dengan pengunjung di rumah terbuka tersebut yang diadakan di pekarangan Plaza Arkadia, Desa Park City, di sini tengah hari ini.

Menurut Ahli Parlimen Segambut itu, tiada salahnya menganjurkan program itu secara bersama kerana dalam musim perayaan, ada kalanya masyarakat menghadiri lapan hingga sembilan undangan majlis rumah terbuka dalam sehari.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, beliau juga menggesa sektor swasta melakukan integrasi dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dengan sokongan kerajaan untuk mewujudkan lebih banyak infrastruktur untuk orang kurang upaya (OKU).

Menurutnya, minggu lepas beliau telah berjumpa dengan syarikat Prasarana bagi membincangkan untuk menyediakan lebih banyak kemudahan lif, tandas awam serta parkir untuk kegunaan golongan itu.

“Kita juga sedang mencari jalan untuk membantu kanak-kanak OKU bermula dari peringkat taman asuhan kanak-kanak (Taska) sehinggalah tamat pengajian bagi memberi laluan peluang pekerjaan buat mereka,” katanya.

Dalam majlis rumah terbuka itu, kira-kira 2,000 pengunjung pelbagai bangsa serta pelancong asing turut hadir memeriahkan rumah terbuka itu yang menghidangkan pelbagai juadah tempatan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!