Ibu tunggal didakwa buang bayi
KOTA BHARU - Seorang ibu tunggal tiga anak dihadapkan ke mahkamah sesyen di sini hari ini kerana didakwa membuang seorang bayi perempuan yang baru dilahirkan pada Oktober tahun lalu.
Tertuduh, Siti Maswani Mustapha, 31, bagaimanapun mengaku tidak salah di hadapan Hakim Ahmad Bazli Bahruddin.
Mengikut pertuduhan, tertuduh sebagai seorang ibu kepada seorang bayi perempuan dengan niat meninggalkan bayi tersebut di tepi sebuah kedai cat di bandar Kota Bharu di sini pada jam 1.05 pagi, 18 Oktober lalu.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau dengan denda atau kedua-duanya sekali.
Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Nuzul Azuar Zulkifli, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Terdahulu, pihak pendakwaan tidak menawarkan jaminan terhadap tertuduh berikutan tuduhan serius yang dihadapi.
Mahkamah kemudian menetapkan kes sebutan semula pada 16 Julai depan untuk pengurusan.
Difahamkan tertuduh sebelum ini membuat laporan polis berhubung penemuan bayi berkenaan sebelum siasatan polis mendapati dia adalah ibu kandung bayi tersebut.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!