Terpegun lihat ular tedung tegak depan mata

Anggota APM Segamat menangkap ular tedung selar yang menyelinap masuk di sebuah kediaman di Kampung Jawa, Segamat.
Anggota APM Segamat menangkap ular tedung selar yang menyelinap masuk di sebuah kediaman di Kampung Jawa, Segamat.
A
A
A

SEGAMAT - Seorang nenek tergamam seketika apabila melihat seekor ular tedung selar berdiri tegak di depan mata ketika mengajar dua cucunya mengaji.

Dalam kejadian kelmarin, Mariati Turiman, 62, bagaimanapun bersyukur apabila haiwan berbisa itu tidak mencederakan mereka bertiga sebelum ia menyusur masuk ke bilik tidur utama di kediamannya di Kampung Jawa, di sini.

“Masa tu saya dan dua cucu berusia lapan dan lima tahun baru saja duduk nak mula mengaji apabila terdengar bunyi pergerakan seperti berdesir.

“Saya terpaku melihat ular tedung yang menegakkan kepala setinggi kira-kira semetar dan hanya berada pada jarak setengah depa di depan kami,” katanya ketika ditemui.

Terkejut dengan kejadian itu, Mariati segera memberi isyarat kepada dua cucunya agar tidak bergerak dan bertenang.

Katanya, dia hanya mampu berselawat apabila melihat kedua-dua mata tedung selar itu memandang mereka dengan garang.

“Setelah beberapa kali berselawat dan berdoa agar ALLAH pelihara kami, saya tengok mata ular tedung selar itu makin redup dan mulai tundukkan kepalanya sedikit demi sedikit.

“Lepas tu ia menjalar masuk ke dalam bilik tidur utama. Bila dah rasa selamat, saya bergegas tutup pintu bilik dan maklumkan kepada suami yang ada di dapur," katanya.

Artikel Berkaitan:

Mariati menunjukkan ular tedung selar yang menyelinap masuk ke bilik utama kediamannya.
Mariati menunjukkan ular tedung selar yang menyelinap masuk ke bilik utama kediamannya.

Mariati berkata, suaminya segera menghubungi Angkatan Pertahanan Awam (APM) Segamat.

"Rumah kami ini macam 'transit' bagi ular sebab dah empat kali dicerobohi iaitu dua ekor tedung selar dan dua ekor sawa batik yang makan ternakan ayam kami.

"Saya pun pelik macamana ular itu boleh berada dalam kediaman sedangkan semua tingkap dan pintu sentiasa tutup rapat. Malah, semak samun juga dah dibersihkan, hanya ada belukar di luar kawasan kami tumbuh menjalar tak jauh dari kawasan ini dan berkemungkinan ia jadi habitat mereka,” katanya.

Sementara itu, Ketua Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Segamat, Kapten (PA) Mohd Nazlan Ruslan berkata, pihaknya mengambil masa kira-kira 20 minit untuk menangkap ular berkenaan sebelum diserahkan kepada pihak Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) untuk tindakan lanjut.

“Penghuni di kediaman ini amat bijak kerana tidak panik dan tedung selar sebesar lengan kanak-kanak dengan panjang 1.9 meter itu berjaya ditemui di belakang almari baju dalam bilik tidur berkenaan,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!