Semak semula gaji minimum sektor awam, swasta
KUALA TERENGGANU - Kerajaan disaran menyemak kembali kadar gaji minimum bagi sektor awam dan swasta kerana ia dilihat sudah tidak sesuai berdasarkan perkembangan semasa ekonomi dan kos sara hidup yang tinggi.
Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs), Datuk Azih Muda berkata, tangga gaji minimum sebanyak RM1,100 dan RM1,200 yang diperoleh buat masa ini amat rendah terutama bagi golongan berpendapatan rendah (B40).
“Apa yang boleh dibeli sekiranya gaji seminimum itu dibelanjakan sebuah keluarga B40 yang memiliki tanggungan yang ramai antara lima hingga 10 orang. Itu tidak dikira dengan potongan dan caruman yang lain.
“Akhirnya yang tinggal hanya RM500 sebulan. Apa yang boleh dibuat dengan jumlah itu,” katanya pada sidang media majlis Rumah Terbuka Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Terengganu yang turut dihadiri Pengarah Perkeso Terenganu, Farihah Che Husin di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Azih berkata, sekiranya kadar gaji minimum tidak mendapat perhatian, tidak mustahil selepas ini kumpulan B40 berdepan halangan untuk membeli rumah atau menghantar anak-anak memasuki institusi pengajian tinggi awam atau swasta.
“Sekiranya masalah ini berlaku, akan timbul masalah lain yang lebih parah seperti isu permasalahan sosial dalam kalangan golongan muda,” katanya.
Dalam pada itu, Azih berkata, pihaknya juga menyarankan supaya kerajaan melihat kembali kontrak untuk perkhidmatan (contract for services) yang kini tiada sebarang caruman.
“Kita nak cadangkan sama ada kerajaan tutup kontrak untuk perkhidmatan (contract for services) ini dan ambil kontrak perkhidmatan (contract of services) sahaja atau mengambil pekerja kontrak untuk perkhidmatan, tetapi membenarkan mereka mencarum kepada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
“Ini tak adil kepada mereka rakyat kita kerana mereka belajar tinggi tetapi apabila masuk alam pekerjaan hak mereka tidak dinafikan atas sebab nama jawatan kontrak untuk perkhidmatan. Mereka tiada hak dapat KWSP. Kalau ada apa-apa yang berlaku kepada mereka, keluarga juga tidak dapat apa-apa. Jika hal ini tidak dibangkitkan, banyak pihak yang tidak sedar,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!