Anggota polis disahkan kena cacar air
KOTA BHARU - Seorang koperal dari Ibu Pejabat Polis Daerah Gua Musang dimasukkan ke hospital kerana dijangkiti ‘chicken pox’ atau cacar air selepas kembali dari bertugas Op Bateq di Kampung Kuala Koh, baru-baru ini.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Hasanuddin Hassan berkata, anggota lelaki yang berusia 30-an tersebut bertugas sebagai jurugambar semasa Op Bateq dan mengadu kurang sihat pada 24 Jun lalu.
“Anggota polis itu mengadu demam sehari selepas operasi tersebut ditamatkan pada 23 Jun lalu dan pergi ke Hospital Gua Musang untuk pemeriksaan kesihatan sebelum disahkan terkena cacar air atau chicken pox.
“Susulan itu, mangsa ditahan sehingga ke hari ini untuk rawatan lanjut dan dia berada dalam keadaan stabil tanpa tanda-tanda serius,” katanya selepas menghadiri jamuan hari raya di Pejabat Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Kelantan, di sini hari ini.
Hasanuddin berkata, doktor juga mengesahkan penyakit mangsa tersebut bukan demam campak atau measles seperti yang berlaku dalam kalangan penduduk orang asli suku kaum Bateq.
“Jangkitan itu tidak dapat dipastikan semasa operasi atau tidak, tetapi mangsa mengadu sakit selepas selesai Op Batek tersebut.
“Setakat ini hanya satu kes itu sahaja melibatkan anggota yang sakit selepas terlibat secara langsung dalam operasi berkenaan,” katanya.
Tambahnya, kawasan perkampungan Kuala Koh Gua Musang kekal zon merah dan laluan masuk dikawal oleh anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) bagi mengelak sebarang jangkitan.
Pada 24 Jun lalu, Pusat Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) Op Bateq ditutup secara rasmi selepas urusan proses pengebumian 15 orang asli suku kaum Bateq selesai sehari sebelum itu.
Mereka dipercayai meninggal dunia akibat penyakit jangkitan paru-paru dan wabak measles atau demam campak selamat dikebumikan bersama dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Kampung Kuala Koh, Pos Lebir.
ARTIKEL BERKAITAN: 15 jenazah orang asli Kuala Koh dikebumi hari ini
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!