Lelaki maut kereta terjunam dalam sungai
ALOR SETAR - Seorang pekerja kilang memproses ayam di Bukit Pinang, Kepala Batas di sini maut selepas kereta yang dinaikinya terjunam ke dalam Sungai Santap, Pokok Sena di sini, semalam.
Mangsa, Ahmat Abdul Wafar Ishak, 30 dipercayai dalam perjalanan ke tempat kerjanya kira-kira jam 11 malam.
Komander Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) negeri, Penolong Kanan Penguasa Bomba Sallehuddin Darawi berkata, mayat mangsa berjaya dikeluarkan dari kereta jenis Proton Wira itu pada jam 2.46 pagi tadi.
Katanya, kereta mangsa yang ditemui dalam keadaan terbalik pada kedalaman sungai kira-kira empat meter berjaya ditarik keluar menggunakan dua kereta penunda.
"Mayat mangsa ditemui masih berada di tempat duduk pemandu dan telah dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini untuk dibedah siasat
Tambahnya, seramai 19 anggota termasuk lima Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat mangsa.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!