KPDNHEP rampas barangan tiruan bernilai RM7,918
IPOH - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Perak mencatatkan nilai rampasan berjumlah RM7,918 sempena Ops Membanteras Barangan Tiruan di pekarangan Stadium Perak, semalam.
Ketua Pegawai Penguatkuasanya, Khalid Tik berkata, operasi yang bermula sekitar 8 malam itu secara keseluruhannya berjaya merampas serta menyita sebanyak 218 helai jersi pasukan tempatan pelbagai saiz berjenama terkenal.
Justeru menurut Khalid, peniaga yang terlibat disyaki telah melakukan kesalahan dan kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 8(2)(b) Akta Perihal Dagangan 2011.
“Pasukan serbuan melibatkan seramai 12 anggota KPDNKK serta lima wakil cap dagang diketuai Mohd Airil Mohd Khairil Akhtar telah menjalankan pemeriksaan ke beberapa premis di pekarangan Stadium Perak yang menjual baju dan seluar jersi pasukan tempatan berjenama terkenal yang sedang beroperasi untuk perniagaan.
“Setelah membuat pemeriksaan ke atas beberapa premis, kita telah menemui sejumlah barangan yang disyaki barang tiruan dan hasil pemeriksaan mendapati peniaga baju, seluar serta jersi pasukan tempatan berjenama terkenal itu turut disyaki membekalkan atau menawarkan untuk membekalkan apa-apa barang yang baginya suatu perihal dagangan palsu.
“Bagaimanapun, tiada tangkapan dibuat dan dilepaskan setelah keterangan diambil daripada peniaga-peniaga berkenaan,” katanya.
Khalid berkata demikian menerusi satu kenyataan media berhubung Ops Membanteras Barang Tiruan yang dijalankan di sekitar pekarangan Stadium Perak, semalam.
Sementara itu Khalid berkata, KPDNHEP memandang serius perkara berkenaan khususnya dalam usaha melindungi hak-hak pemilik cap dagang melalui pemantauan dan risikan berterusan ke atas premis yang menjual barangan berjenama.
Katanya, apabila kerja-kerja membanteras ini berjaya dilaksanakan, ia diyakini akan meningkatkan keyakinan pelabur khususnya dari luar negara untuk melabur di Perak.
“Kita juga menegaskan agar peniaga tidak menjual barang berjenama tiruan. Tindakan tegas akan dikenakan kepada mereka yang melanggar Akta Perihal Dagangan 2011.
“Pelanggaran undang-undang di bawah Seksyen 8 (2) (A) dan (B) Akta Perihal Dagangan 2011 apabila disabitkan kesalahan boleh dikenakan denda tidak lebih RM30,000 bagi setiap barang yang diletakkan perihal dagangan palsu atau denda tidak melebihi RM10,000 bagi setiap barang yang diletakkan perihal dagangan palsu atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!