Dua jari Kay Kydir patah
PENYANYI, Kay Khydir, 31, terpaksa menjalani rawatan susulan fisioterapi berkala di Hospital Ampang akibat tergelincir di bilik mandi, kediamannya di Kuala Lumpur.
Menurut Kay, kejadian berlaku pada jam 6.50 petang, enam hari sebelum meraikan Aidilfitri.
“Ceritanya saya nak mandi tapi pantang masuk bilik mandi nak cuci bilik mandi kejap.
“Tapi malang tak berbau saya tergelincir disebabkan lantai licin. Namun saya jatuh biasa sahaja, jadi tak jangka pula akibatnya teruk sampai dua jari kelingking dan manis patah.
“Saya fikir terseliuh sahaja sebab pegang dua jari tu terasa sakit sampai nampak bengkak.
“Dapat tahu patah bila lepas berbuka puasa saya ke hospital. Kata doktor dua jari saya patah dan sejak hari itu jari-jari saya disimen,” katanya kepada Sinar Harian.
Kay mengulas hal itu apabila dilihat berjabat salam dengan rakannya di Rumah Terbuka Ray Media Prima dalam keadaan seperti menahan sakit.
Tambah Kay lagi, dia sengaja tidak berkongsi mengenai perkara itu di media sosial kerana tidak mahu peminatnya berasa risau.
Sementara itu, ditanya mengenai sambutan raya, penyanyi Bukan Bahagiaku tersebut berkata, perayaan tahun ini berbeza dari tahun sudah.
“Berbeza sangat lebih-lebih lagi tangan berbalut ibarat macam watak Thanos filem Marvel rasanya.
“Tahun ini saya tak balik Johor, biasa balik di Pasir Gudang, cuma tahun ini beraya bersama satu keluarga di Kuala Lumpur,” akhirinya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!