'Tugas MED bantu peniaga tepati kriteria halal, bukan Jakim'
KUANTAN - Tugas untuk memenuhi kriteria yang dipohon peniaga bagi mendapatkan pengiktirafan pensijilan halal bukan tugas Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Fuziah Salleh berkata, peranan itu sepatutnya dilakukan Kementerian Pembangunan Usahawan (MED) menerusi pelbagai langkah dan bukannya mempersoalkan kenapa peniaga di Malaysia sukar mendapat pengiktirafan halal.
"Pengiktirafan sijil halal oleh Jakim adalah standard yang diguna pakai 45 negara di seluruh dunia. Saya ingin jelaskan pengiktirafan sijil halal adalah satu standard yang Jakim siapkan bagi memastikan memenuhi piawaian halalan toyyiban iaitu halal dan suci.
"Aspek halal dan suci perlu dipenuhi serta jika memenuhi syarat proses kelulusan hanya mengambil masa dua minggu sahaja," katanya pada Majlis Rumah Terbuka Parlimen Kuantan di SMK Tanah Putih di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof yang mempersoalkan mengapa peniaga termasuk penjual kerepek sukar mendapat sijil halal.
Menurutnya, MED sepatutnya membimbing, membantu dan melatih peniaga terutama peniaga kecil untuk memajukan perusahaan sehingga layak memperoleh sijil halal.
"Contohnya penjual kerepek, mereka goreng kerepek di belakang rumah dan berkongsi dapur rumah. Itu tidak memenuhi standart kerana dapur tidak boleh bercampur.
"Jakim tidak boleh sesuka hati menurunkan syarat kerana ia standard antarabangsa. Saya sarankan kementerian itu dan agensi berkaitan beri bimbingan kepada peniaga kecil," katanya.
Fuziah berkata, usahawan mikro perlu dibantu, diberi latihan, dana dan pinjaman serta penuhi standard halal," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!