Piala Datuk Mokhtar Dahari: Empat pasukan berentap ke final
SHAH ALAM - Kejohanan bola sepak merebut Piala Datuk Mokhtar Dahari edisi keenam 2019 kini menghampiri kemuncak.
Saingan separuh akhir hari ini bakal menyaksikan pertarungan empat pasukan terhebat dari kelompok 32 pasukan terbaik yang mewakili seluruh daerah di Selangor.
Wakil daerah Petaling Perdana, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seksyen 7, menarik nafas lega apabila berjaya menewaskan pasukan bimbingan bekas pemain kebangsaan Khalid Jamlus, SMK Seksyen 9 dengan kelebihan penalti 5-4 selepas terikat 2-2.
Pada aksi separuh akhir berlangsung hari ini, SMK Seksyen 7 akan berdepan pendatang baharu, SMK Bandar Tasik Putri manakala SMK Tinggi Kajang akan berdepan pasukan ‘underdog’ SMK Tengku Idris Shah Kapar.
Kedua-dua perlawanan akan diadakan serentak jam 3.30 petang ini di Padang A dan B, Eo Ardene, Setia Alam.
Aksi final yang menjadi idaman setiap pasukan akan berlangsung di Arena Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) pada jam 8 malam 12 Julai ini.
Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah akan berangkat untuk menyaksikan perlawanan dan seterusnya berkenan menyampaikan hadiah.
Johan bakal merangkul piala dan membawa pulang wang tunai RM10,000 manakala naib johan RM8,000.
Kejohanan berprestij ini dikendalikan Jawatankuasa Induk kejohanan yang dipengerusikan oleh Orang Kaya Maha Bijaya, Orang Besar Daerah Petaling, Datuk Emran Kadir.
"Kami bangga kerana kejohanan ini sudah masuk edisi keenam untuk kategori bawah 18 tahun manakala untuk bawah 15 tahun sudah masuk edisi ketiga," katanya.
Kumpulan Perangsang Selangor merupakan penaja utama selain Sinar Harian merupakan akhbar rasmi kejohanan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!