Trump bertemu Jong-un di Korea Utara
PANMUNJOM - Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump dan pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un berjabat tangan di Zon Bebas Tentera (DMZ) di Panmunjom hari ini sekali gus menjadikan Trump Presiden AS pertama yang menjejak kaki ke Korea Utara.
Kunjungan bersejarah itu terjadi apabila Trump yang berada di sidang kemuncak G20 di Osaka, Jepun semalam menjemput Jong-Un menerusi Twitter untuk bertemu di DMZ yang juga digelar sebagai perbatasan Perang Dingin yang terakhir di dunia.
“Ia merupakan hari yang hebat buat dunia dan ia satu penghormatan untuk saya berada di sini,” kata Trump sambil menambah pelbagai kemajuan hebat sedang berlaku.
Susulan pertemuan singkat selama satu jam antara kedua-dua pemimpin, Trump berkata, AS dan Korea Utara bersetuju untuk meneruskan perbincangan berhubung isu program nuklear Pyongyang.
Pertemuan pertama kedua-dua pemimpin yang berlangsung pada 12 Jun 2018 di Singapura sekadar menampilkan perjanjian kabur yang gagal menangani isu nyahnuklear di Semenanjung Korea.
Sementara itu, pertemuan kedua di Vietnam pada 28 Februari lalu berakhir tanpa sebarang perjanjian.
Dalam pada itu, Presiden Trump turut menyatakan beliau telah menjemput pemimpin Korea Utara itu berkunjung ke Rumah Putih ‘pada bila-bila masa beliau mahu’.
Bagi Jong-un, pertemuan tersebut merupakan simbolik hubungan yang semakin baik antara AS dan Korea Utara yang pernah mempunyai sejarah hitam pada masa lalu. - AFP
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!