MBI bersih sampah haram 43,730 kali
IPOH - Sikap tidak bertanggungjawab segelintir warga bandar raya ini membuang sampah di tempat tidak sepatutnya perlu diambil tindakan tegas.
Sehingga November 2018, bukan dua atau tiga kali pihak Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) membersihkan kawasan sampah haram itu, tetapi 43,730 kali di 1,672 lokasi di Ipoh.
MBI dalam kenyataanya berkata, jumlah sampah yang dipungut di kawasan itu dalam tempoh tersebut adalah sebanyak 4,138 tan melalui 48 operasi mencari sampah.
Sehubungan itu juga, pihak MBI telah menganjurkan 110 program gotong-royong dan memasang 491 papan tanda larangan membuang sampah di bandar raya.
Semalam, seramai 300 warga MBI dan penduduk sekitar Pusat Bandar Baru Bercham menyertai program gotong-royong di kawasan tersebut.
Menurut kenyataan itu, gotong-royong yang telah dirasmikan oleh Adun Bercham, Ong Boon Piow dan turut dihadiri Ahli Majlis MBI, Jacky Ngo Kok Foong serta ketua jabatan MBI.
"Antara aktiviti yang dijalankan adalah pembersihan sampah haram, menanggal poster along, mengecat bahu dan pembahagi jalan, mencantas pokok, pembersihan ‘scupper hole’ dan laluan pejalan kaki serta pembersihan sekitar kawasan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!