4 mangsa sesat dalam hutan ditemui selamat
RAWANG - Tiga lelaki dan seorang wanita yang dilapor sesat dalam hutan Taman Rimba Kanching di sini sejak awal pagi tadi ditemui selamat.
Kesemua mangsa berusia antara 19 hingga 30 tahun itu dipercayai masuk ke hutan tersebut kira-kira jam 7 pagi untuk mencari tempat berkelah.
Namun setelah hampir dua jam mencari lokasi, mangsa menyedari tersesat menyebabkan seorang daripadanya menghubungi bomba bagi mendapatkan bantuan.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor berkata, pihaknya menerima panggilan memaklumkan insiden pada jam 9.53 pagi.
Menurutnya, bertindak atas maklumat diterima, sekumpulan 14 anggota bomba Balai Bomba dan Penyelamat Rawang bergegas ke lokasi.
"Maklumat awal diterima mengatakan terdapat empat mangsa termasuk seorang wanita tersesat dalam hutan itu.
"Anggota bomba yang terlibat dengan operasi mencari dan menyelamat dipecahkan kepada tiga kumpulan dan kaedah digunakan adalah dengan berhubung dengan mangsa," katanya.
Beliau berkata, anggota bomba mengenal pasti kedudukan mangsa dengan mengesan jejak-jejak yang ditinggalkan.
"Kesemua mangsa berjaya ditemui dalam keadaan baik dan selamat," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!