Pertandingan tarian bukan program anjuran KPM
SHAH ALAM - Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menjelaskan pertandingan tarian yang menampilkan peserta berpakaian menjolok mata bukan program anjuran bersama kementerian, tetapi dianjurkan oleh Malaysia United Dancesport Association (MUDA).
KPM dalam satu kenyataan memaklumkan pihaknya hanya membenarkan penyertaan murid dalam kategori murid sekolah.
Menurutnya, penyertaan mereka tertakluk kepada peruntukan Surat Pekeliling Ikhtisas (SPI) Bil8/2009 dan Bil. 7/1988.
"Dalam surat kelulusan kepada MUDA, KPM telah menggariskan tatacara pemakaian yang perlu dipatuh oleh murid yang menyertai pertandingan. Kebenaran penggunaan logo KPM hanya melibatkan kategori murid sekolah dan sijil penyertaan bagi kategori itu," katanya.
Kenyataan itu turut menegaskan penggunaan logo KPM pada sijil bagi kategori-kategori lain tidak mendapat kebenaran KPM.
Jelasnya, penggunaan logo KPM pada kain rentang dan tirai latar (backdrop) semasa pertandingan juga tidak mendapat kebenaran KPM.
"KPM telah menghubungi penganjur bagi memaklumkan kekecewaan Kementerian mengenai ketidakpatuhan syarat-syarat yang telah ditetapkan.
"Kami memandang serius dan tidak akan berkompromi dengan tindakan mana-mana pihak yang gagal mematuhi syarat-syarat yang telah ditetapkan atau menyalahgunakan nama dan logo Kementerian, sekaligus memburukkan imej kementerian," katanya.
ARTIKEL BERKAITAN: Penganjur pertandingan tarian mohon maaf pada KPM
Terdahulu, KPM mengesahkan menerima permohonan maaf daripada penganjur pertandingan tarian Perak MUDA Medalist Dancesport Championship yang menampilkan peserta persembahan memakai pakaian menjolok mata di sebuah hotel di Ipoh, Perak, pada Sabtu.
Pada 30 Jun 2019, pihak penganjur telah mengeluarkan kenyataan media memohon maaf atas kecuaian pihaknya menggunakan logo KPM pada kategori dewasa, yang menjadi viral di media sosial sejak semalam, tanpa memperoleh kebenaran KPM.
"KPM tidak lagi akan terlibat dalam apa jua program dianjurkan oleh MUDA," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!