Tempoh permohonan rayuan BSH dibuka mulai hari ini
PUTRAJAYA - Tempoh permohonan rayuan Bantuan Sara Hidup (BSH) 2019 akan dibuka mulai hari ini sehingga 15 Ogos depan.
Kementerian Kewangan dalam satu kenyataan berkata, dengan adanya proses rayuan itu membolehkan mereka yang tidak layak diberi ruang untuk mengemukakan rayuan beserta dengan dokumen berkaitan untuk diverifikasi semula oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM).
"Permohonan rayuan boleh dibuat secara dalam talian di portal BSH https://bsh.hasil.gov.my/, atau dengan hadir ke mana-mana Cawangan / Pusat Khidmat Hasil (PKH) dan Pusat Transformasi Bandar (UTC) LHDNM.
"Kerajaan akan terus mengambil langkah proaktif dalam menangani masalah dan isu yang timbul sepanjang pelaksanaan BSH," katanya menerusi satu kenyataan hari ini.
Menurut kenyataan itu lagi, kerajaan juga akan sentiasa menambahbaik program BSH bagi memastikan bantuan yang diberikan adalah berkesan dan mencapai kumpulan sasar yang ditetapkan terutamanya golongan B40 dalam membantu meringankan beban kos sara hidup rakyat.
"Sekiranya terdapat sebarang pertanyaan lanjut, boleh menghubungi talian bebas tol 1-800-88-2747 serta e-mel kepada: bsh@treasury.gov.my. Kementerian Kewangan Malaysia," katanya.
BSH merupakan salah satu program bantuan bersasar bagi golongan berpendapatan rendah (B40) untuk meringankan kos sara hidup mereka di samping membuktikan keprihatinan kerajaan Pakatan Harapan (PH) terhadap golongan yang memerlukan, dan seterusnya memberi impak yang tinggi kepada rakyat.
Pembayaran BSH 2019 fasa kedua telah dilaksanakan mulai 28 Mei 2019 berdasarkan kategori BSH 2019, merangkumi bilangan anak atau tanggungan dan jumlah nilai BSH 2019 yang akan diterima.
Sehingga kini, jumlah keseluruhan pembayaran bagi fasa 1 dan 2 adalah RM2.62 bilion.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!