Pencemaran udara: Punca muntah, sesak nafas masih misteri
PASIR GUDANG - Punca sebenar yang menyebabkan pelajar, guru dan orang awam mengalami simptom muntah-muntah dan sesak nafas masih misteri setelah insiden pencemaran udara itu melanda Pasir Gudang sejak 20 Jun lalu.
Exco Kesihatan, Mohd Khuzzan Abu Bakar menjelaskan pihaknya masih mencari punca yang menyebabkan insiden itu berlaku.
Menurutnya, hari ini sekumpulan petugas pelbagai agensi akan digerakkan secara serentak ke 85 sekolah sekitar Pasir Gudang untuk merekodkan kualiti udara dari tingkat paling atas.
"Hari ini kita nak lihat sendiri bacaan sebenar sehingga jam 1 petang di 85 sekolah di Pasir Gudang," katanya pada sidang media di sini hari ini.
Sementara itu, Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (MESTECC), Yeo Bee Yin berkata, pemeriksaan secara serentak itu dijalankan bagi mencari bacaan sebenar udara di setiap sekolah.
"Selepas petang ini dapatkan 85 bacaan kita akan dapat tahu lebih banyak data. Bukan kita tak ambil bacaan sebelum ini, tapi apabila sudah diambil, bacaan udaranya baik tapi esok ada masalah.
"Jadi itu kita nak tahu, kita pergi hari ini dengan masa yang sama. Semalam juga kita telah ambil sampel air kencing dan darah tujuh mangsa secepat mungkin selepas menunjukkan simptom," katanya.
Beliau menegaskan kes tersebut berbeza dengan insiden pencemaran Sungai Kim Kim yang berlaku Mac lalu.
"Mangsa daripada sekolah yang berbeza, ada yang sangat jauh, tak ada hubungan geografi. Kes ini (semalam) sama dengan yang berlaku 20 Jun lalu tapi tak sama dengan kes pencemaran Sungai Kim Kim.
"Sebab kes Sungai Kim Kim itu penyebaran udaranya ada satu punca dan kita boleh simulasi penyebaran gas sebab bawaan angin tapi kali ini, tempatnya berbeza-beza dan selepas saringan hanya empat peratus (10 orang) yang dirujuk ke HSI," katanya.
Dalam pada itu, Mohd Khuzzan berkata, pihaknya akan melihat dari sudut psikologi mangsa yang terjejas.
"Ada yang kata tak ada bau apa-apa, rasa nak muntah tapi tak muntah sebab itu mereka pergi ke klinik. Dari segi psikologi kita nak lihat sebab ada yang selepas diberi rawatan mereka boleh bermain, ketawa," katanya.
ARTIKEL BERKAITAN: 250 kilang bahan kimia di Pasir Gudang diperiksa
Ketika ditanya tentang punca insiden tersebut yang masih gagal ditemui selepas 11 hari sejak kejadian pertama, 20 Jun lalu, Mohd Khuzzan berkata, semua pihak telah bertungkus-lumus mencari punca yang menyebabkan majoriti pelajar yang berada di tingkat atas terjejas.
"Kita bukan tidak ada gerak kerja. Semua agensi yang ada, JAS (Jabatan Alam Sekitar), Jabatan Bomba dan Penyelamat, Jabatan Kimia, JKKP (Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan) serta pihak berkuasa tempatan telah menjalankan tugas untuk mencari punca.
"Sebab itu kita nak pastikan apa sebenarnya gas yang menyerang kawasan sekolah ini, jadi kita ambil pendekatan pergi serentak ke semua sekolah untuk pastikan apa yang kita dapat (bacaan)," katanya.
Sementara itu menjawab soalan sama, Bee Yin berkata, kerajaan memerlukan laporan saintifik berkaitan punca bukan menuding jari tanpa bukti
"Kerja pemantauan telah pun dijalankan, lebih 100 pegawai agensi berbeza pergi ke semua lokasi, bacaan semua ok tapi esoknya pelajar masuk sekolah mereka tunjuk simptom.
"Kita akan memperbaiki apa yang kita boleh buat tapi saya tak bertanggungjawab kalau saya tuding jari 'oh ini puncanya' sebab kerajaan perlu ada (sebab yang) saintifik. Lokasi berbeza dan jauh, mangsa selepas saringan berkurangan. Kalau ada punca, ia tidak akan ada di sana dan di sini jadi apakah puncanya? Kita nak cari," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!