Tiada keperluan tutup sekolah di Pasir Gudang - TPM
KUALA LUMPUR – Walaupun tiada sebarang keperluan untuk sekolah di sekitar Pasir Gudang ditutup namun, ia bergantung kepada situasi semasa kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.
Beliau berkata, berdasarkan laporan yang diterimanya keadaan di lokasi pencemaran lazimnya akan berubah selepas jam 11 pagi.
“Laporan yang diterima pagi ini, tidak ada sebarang insiden pelajar sekolah yang terjejas, namun, kita tunggu dulu, selalunya insiden berlaku selepas jam 11 pagi.
ARTIKEL BERKAITAN: Pencemaran udara: Punca muntah, sesak nafas masih misteri
“Saya ingat sekarang tidak ada sebab untuk tutup sekolah, bagaimanapun Jabatan Alam Sekitar (JAS) laporkan pencemaran di Pasir Gudang berbeza dengan kes Sungai Kim Kim, punca –punca yang berpotensi pula sedang dijalankan.
“Sekarang kita nak buat pemeriksaan terhadap 72 buah kilang untuk mendapatkan gas untuk dipantau JAS, sekarang ini kita tidak tahu punca bau busuk pada waktu malam ia sedang dikaji,“ katanya ketika ditemui media di lobi Parlimen di sini hari ini.
Bagaimanapun, Wan Azizah turut melahirkan kebimbangan kerana cadangan untuk mewujudkan zon penampan tidak dapat untuk menyelesaikan masalah tersebut kerana ia melibatkan gas.
“Saya risau, zon penampan pun tidak memadai sebab ini gas. Kalau angin bertiup boleh membawa ke tempat yang melangakui zon penampan ini.
“Setakat ini tiada keperluan untuk tutup sekolah di Pasir Gudang,sebab kalau pantau lepas jam 11 pagi baru pelajar sekolah alami loya, muntah jadi kita tak tahu kerana pencemaran ini di udara,” jelasnya.
Sementara itu, Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik memberitahu, keputusan mengenai penutupan sekolah di Pasir Gudang akan diputuskan oleh Jabatan Pendidikan Johor dan semua agensi terlibat termasuk kerajaan negeri.
Media melaporkan, ratusan murid, pelajar dan guru mengalami sesak nafas dan muntah, dipercayai akibat pencemaran udara yang berulang lagi selepas insiden sama kira-kira dua minggu lalu, hanya selepas dua jam sekolah dibuka semalam.
Semua 111 sekolah di sini sebelum ini diarah tutup lima hari sejak 25 Jun lalu, bersama tiga institusi pengajian tinggi (IPT), 14 sekolah swasta dan antarabangsa serta 347 tadika swasta sebelum dibenar dibuka semula semalam.
Buat masa ini, Menteri Tenaga, Teknologi, Sains, Perubahan Iklim dan Alam Sekitar, Yeo Bee Yin mengerahkan 85 kumpulan pakar dilengkapi alat pengesan gas melakukan bacaan kualiti udara secara serentak di kawasan sekolah berisiko.
Katanya, ia bagi membolehkan cerapan bacaan kualiti udara dilakukan dengan lebih bersepadu dan terperinci, sekali gus mencari punca sebenar pencemaran udara di sekitar kawasan ini sejak minggu lalu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!