Mujahid perjelas isu Xinjiang

Mujahid. Foto: Sinar Harian Sharifuddin Abdul Rahim
Mujahid. Foto: Sinar Harian Sharifuddin Abdul Rahim
A
A
A

KUALA LUMPUR - Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof tampil memperjelas kenyataan Facebooknya yang mendapat kritikan pedas susulan lawatannya ke China.

Menurutnya, lawatan kerja ke China pada 23 hingga 30 Jun bukan semata-mata untuk melawat etnik Uyghur, sebaliknya merentasi pelbagai aspek melibatkan isu keamanan, agama dan sosio ekonomi di samping berkongsi tentang model Malaysia berdasarkan gagasan Rahmatan Lil Alamin.

Mujahid berkata, dalam pertemuan berkenaan beliau turut menegaskan tentang pendirian kebebasan beragama serta menghormati hak seseorang rakyat untuk beragama.

“Ini merupakan pertama kali bagi seorang menteri dari Malaysia yang bercakap tentang isu agama kepada wakil China dan maklum balas yang diterima sangat positif. Saya juga diberi peluang untuk menyampaikan syarahan bertajuk Towards A Peaceful and Harmonious World di Beijing Foreign Studies University.

“Antara inti pati ucapan beliau ialah pentingnya hak asasi manusia dipelihara terutamanya jika ia melibatkan nyawa seseorang tanpa mengira etnik mahupun agama,” katanya ketika ditemui media di lobi Parlimen, hari ini.

Hal demikian, Mujahid menyangkal berita yang dilaporkan portal Free Malaysia Today (FMT) bertarikh 28 Jun 2019 yang bertajuk In Beijing speech, Mujahid speaks of 'false news' on Xinjiang dan laporan versi Bahasa Melayu Mujahid di Beijing berucap tentang 'berita palsu' mengenai Xinjiang.

“Ingin ditegaskan, laporan yang ditulis portal berkenaan berdasarkan teks ucapan syarahan saya amat mengelirukan, tidak tepat serta tidak menggambarkan keseluruhan ucapan.

“Sedangkan, dalam teks ucapan, tiada perkataan Xinjiang mahupun etnik Uyghur yang disebut. Perkataan 'false news' digunakan bagi memberi gambaran bahawa berita palsu mampu menjejaskan hubungan antara negara dan masyarakat. Untuk makluman, umat Islam di China bukan sahaja terdiri daripada etnik Uyghur tetapi terdapat beberapa etnik lain antaranya Hui, Kazakh, Uzbeks dan Tajik. Sehubungan itu, laporan FMT berkenaan sangat tidak tepat dan tidak bertanggungjawab,” tegasnya.

Artikel Berkaitan:

Semalam, Presiden Amanah, Mohamad Sabu, menyatakan akan mendapatkan penjelasan Mujahid, berhubung kenyataannya mengenai isu hak asasi masyarakat minoriti di Xinjiang, China.

Mujahid, menerusi akaun Facebooknya pada 26 Jun lalu, memuat naik gambar lawatannya bersama delegasi ke ‘Pusat Latihan dan Vokasional’ bagi masyarakat Uighur di China.

Menerusi paparan terbabit, Mujahid berkata pusat latihan itu menjalankan latihan perindustrian dengan pelbagai kemahiran seperti menjahit, kelas perundangan, seni, gubahan bunga dan sebagainya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!