Johor cadang tarik pelaburan dari Amerika Syarikat

Jimmy pada Persidangan DUN Johor ke-14 di Kota Iskandar hari ini.
Jimmy pada Persidangan DUN Johor ke-14 di Kota Iskandar hari ini.
A
A
A

ISKANDAR PUTERI - Kerajaan Johor bercadang mengadakan misi perdagangan dan pelaburan ke Amerika Syarikat pada bulan ini.

Exco Pelaburan, Perdagangan Antarabangsa dan Utiliti, Jimmy Puah Wee Tse berkata, usaha berkenaan bagi menarik lebih banyak pelabur dari negara berkenaan melabur ke negeri ini.

"Kerjasama dengan pelbagai pihak dalam usaha menarik pelabur dari Amerika Syarikat yang berminat untuk memindahkan operasi perniagaan mereka dari China ke negara-negara di Asia terutama di Malaysia dan terutama ke negeri ini sedang berjalan dengan positif," katanya.

Jimmy (PH-Bukit Batu) berkata demikian ketika menjawab soalan Chen Kah Eng (PH-Stulang) tentang kesan perang dagangan China-Amerika Syarikat terhadap sentimen pelaburan negeri ini ketika Persidangan DUN Johor ke-14 di Kota Iskandar di sini hari ini.

Dalam pada itu, beliau yakin tiga misi dagangan ke China yang diadakan pada Mac hingga Mei lalu untuk menarik pelaburan syarikat pembuatan yang terjejas akibat perang dagangan Amerika Syarikat akan mula membuahkan hasil pada akhir tahun ini.

"Malah, setakat ini, terdapat hampir 10 syarikat terbabit dalam perbincangan dan disusuli dengan banyak pertanyaan mengenai pelaburan negeri ini. Sehingga Mac lepas, nilai pelaburan dari China ke Johor adalah sebanyak RM718 juta.

"Setakat ini, Johor ialah negeri yang paling tinggi menerima pelaburan dari China di Malaysia. Ini menunjukkan kesan yang positif dan trend pelaburan seperti ini akan memberi impak yang besar terhadap iklim pelaburan asing terutama dari negara China," katanya.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!