Ahmad Zahid umum kembali bertugas

Ahmad Zahid (empat, kiri) dan Misbahul Munir (lima, kanan) bersama-sama pimpinan UMNO Bahagian Bagan Datuk dan Pas Kawasan Bagan Datuk pada Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri di Food Court Perdana BD, Kompleks UMNO Bagan Datuk, Sungai Sumun di sini hari ini.
Ahmad Zahid (empat, kiri) dan Misbahul Munir (lima, kanan) bersama-sama pimpinan UMNO Bahagian Bagan Datuk dan Pas Kawasan Bagan Datuk pada Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri di Food Court Perdana BD, Kompleks UMNO Bagan Datuk, Sungai Sumun di sini hari ini.
A
A
A

BAGAN DATUK - Ketua UMNO Bahagian Bagan Datuk, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid umum kembali bertugas sebagai Presiden UMNO mulai hari ini.

Pengumuman itu dibuat ketika berucap pada Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri di Food Court Perdana BD, Kompleks UMNO Bagan Datuk, Sungai Sumun hari ini.

Katanya, keputusan tersebut dibuat memandangkan hari ini genap setahun beliau dipilih sebagai Presiden UMNO oleh perwakilan daripada 191 bahagian.

"Maka genap setahun ini cukup signifikan dan sangat penting bagi saya oleh yang demikian 30 Jun 2019, saya ingin mengumumkan bahawa saya menamatkan cuti sebagai presiden UMNO pada hari ini.

"Ini bererti mulai pada hari ini, saya akan terus menyambung tugas saya sebagai presiden UMNO Malaysia," katanya dalam ucapan yang turut dimuat naik ke laman Facebooknya.

Sejurus mengumumkan berita tersebut, orang ramai yang hadir terdiri daripada pimpinan dan ahli UMNO bersorak dan bertepuk tangan.

Hadir sama pada majlis itu, Pengerusi UMNO Perak, Datuk Saarani Mohamad; Timbalan Ketua UMNO Bahagian Bagan Datuk. Datuk Khairuddin Tarmizi dan Ahli Jawatankuasa Pas Pusat merangkap Yang Dipertua Pas Kawasan Bagan Datuk, Misbahul Munir Masduki bersama-sama pimpinan Pas kawasan tersebut.

Pada 18 Disember lalu, Ahmad Zahid mengumumkan bercuti daripada menjalankan tugas sebagai Presiden UMNO dan menyerahkan tugas itu kepada Timbalannya Datuk Seri Mohamad Hasan dan pada 8 Februari lalu, Ahmad Zahid sudahpun memberikan bayangan untuk kembali memimpin UMNO apabila berlakunya satu peristiwa besar di negara ini.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, dalam ucapan pada majlis tersebut, Ahli Parlimen Bagan Datuk itu menjelaskan, walaupun terpaksa berdepan 80 pertuduhan atau lebih, tugas sebagai Presiden UMNO akan tetap diteruskan.

Beliau berkata, keputusan itu juga dibuat atas faktor menyelamatkan parti, agama Islam, orang Melayu dan rakyat secara keseluruhannya.

"Biarpun akan datang mungkin 870 pertuduhan atau mungkin 8,700 pertuduhan dikenakan ke atas saya, saya berani katakan membujur lalu melintang patah.

"Saya tidak sanggup melihat UMNO dihina. Saya tak sanggup melihat perjuangan meletakkan Islam sebagai agama teragung di Malaysia dan seluruh dunia diperkotak katikkan dan dipijak-pijak.

"Saya juga tidak sanggup melihat orang Melayu diketepikan dan dipinggirkan serta tidak sanggup lihat rakyat terus ditipu, ditindas," katanya.

Dalam perkembangan lain, Ahmad Zahid turut mengulangi komitmen UMNO untuk bekerjasama dengan Pas.

Katanya, sebagai presiden UMNO, taawun siyasi di antara Pas dan UMNO tidak akan dikhianati selagi masih menerajui parti tersebut.

Pada 19 Oktober dan 14 Disember 2018 serta 20 Februari lalu, Ahmad Zahid mengaku tidak bersalah terhadap 47 pertuduhan dengan 12 pertuduhan pecah amanah, lapan pertuduhan rasuah dan 27 pengubahan wang haram melibatkan puluhan juta ringgit milik Yayasan Akalbudi.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!