Sungai Danga makin hitam, adakah kisah Sungai Kim Kim berulang?
JOHOR BAHRU - Makin hitam. Itulah senario yang berlaku di Sungai Danga hari ini.
Terletak di kawasan Johor Bahru, Sungai Danga akan dapat dilihat apabila merentasi lebuh raya pesisir dari Perling menghala ke bandaraya Johor Bahru.
Dari lebuh raya sahaja, pemandangan Sungai Danga agak 'menyakitkan mata'.
Bau-bauan tidak menyenangkan dan dipenuhi sampah sarap, itu antara gambaran yang boleh diterjemah dengan keadaan sungai ini.
Tinjauan Sinar Harian di lokasi berkenaan hari ini mendapati keadaan sungai itu sudah bertukar wajah.
Melihatkan keadaan ini, timbul persoalan apakah sungai ini akan mengalami nasib sama seperti Sungai Kim Kim yang tercemar?
Daripada pemerhatian penulis di beberapa kawasan sungai ini, dapat dilihat ia sama seperti yang tular di media sosial baru-baru ini.
Tinjauan dengan beberapa penduduk sekitar Kampung Sungai Danga, perkara itu diakui mereka mengenai perubahan terhadap tahap kebersihan sungai tersebut.
Bagi Baha Abdul Raub @ Andaman, 60, sejak meninggalkan pekerjaan sebagai nelayan 20 tahun yang lalu keadaan sungai itu dilihat semakin tenat dan membimbangkan.
“Boleh kata sungai ini semakin teruk keadaannya sejak 2001. Apa yang saya tengok, air sungainya memang dah keruh berbanding dulu dan paling tidak disenangi baunya dah macam air longkang.
“Selain sampah, kalau kita tengok keadaan air pun boleh nampak macam ada minyak, kita tak tahulah puncanya daripada mana, bimbang sisa toksik sahaja, nanti jadi macam di Pasir Gudang pula,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di Kampung Sungai Danga di sini hari ini.
Penulis cuba menyelusuri kawasan sungai ini, terdapat jeti nelayan, namun ia seperti sudah lama tidak digunakan.
Mendekati seorang jurugambar sambilan, Eric Teow, 68, perkara sama turut diakuinya di mana keadaan sungai itu sudah lain daripada beberapa tahun sebelum ini.
Dia yang merupakan pesara guru mula datang ke sungai itu untuk mengambil gambar burung-burung, namun kecewa apabila sudah jarang untuk mendapatkan gambar spesies yang unik.
“Sejak bersara saya memang selalu datang ke kawasan semula jadi macam ini, kebiasaannya untuk ambil gambar burung sebab minat. Awal saya datang ke sini kira-kira dua tahun lalu selalu dapat gambar Raja Udang dan Pitta.
“Mungkin selepas pembinaan kondominium dan bangunan di sekitar kawasan ini burung-burung itu dah tak ada. Tak boleh nak salahkan sesiapa cuma harap pihak berkenaan nampak perkara ini,” katanya.
Terdahulu, tular di laman sosial Facebook mengenai keadaan Sungai Danga yang dikatakan dilanda pencemaran serius.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!