Usah polemikkan keputusan Zahid: Asyraf Wajdi
KUALA LUMPUR - Pengumuman Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi untuk kembali bertugas sebagai Presiden UMNO tidak seharusnya mencetuskan polemik baru dalam parti tersebut.
Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, isu tersebut tidak perlu diperdebatkan kerana ia selaras dengan perlembagaan parti dan hak mutlak beliau sebagai Presiden.
Menurutnya, tatkala Pakatan Harapan (PH) sedang mengalami pergolakan dalaman, UMNO harus menumpukan usaha membela nasib rakyat yang sengsara dengan pelbagai dasar PH.
“Keutamaan kini juga harus difokuskan kepada usaha penyatuan ummah dan kerjasama UMNO - Pas yang amat didambakan rakyat demi mempertahankan martabat agama dan maruah bangsa yang semakin terobek di bawah PH.
“Dengan kesatuan yang utuh, kesetiaan pada idealisme perjuangan dan meletakkan kepentingan parti melebihi peribadi, Insya-ALLAH UMNO mampu bangkit kembali demi rakyat dan negara tercinta,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Ahmad Zahid yang juga Ketua UMNO Bagan Datuk mengumumkan beliau kembali bertugas sebagai Presiden UMNO mulai semalam.
Pengumuman itu dibuat ketika beliau berucap pada Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri di Food Court Perdana BD, Kompleks UMNO Bagan Datuk, Sungai Sumun, Perak.
Katanya, keputusan tersebut dibuat memandangkan semalam genaplah setahun beliau dipilih sebagai Presiden UMNO oleh perwakilan daripada 191 bahagian.
"Maka genap setahun ini cukup signifikan dan sangat penting bagi saya oleh yang demikian 30 Jun 2019, saya ingin mengumumkan bahawa saya menamatkan cuti sebagai presiden UMNO pada hari ini.
"Ini bererti mulai pada hari ini (semalam), saya akan terus menyambung tugas saya sebagai presiden UMNO," katanya dalam ucapan yang turut dimuat naik ke laman Facebooknya.
Sementara itu, Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan mengalu-alukan keputusan Ahmad Zahid yang akan kembali bertugas selepas bercuti sejak Disember tahun lalu.
Menurut Mohamad, selaku Presiden UMNO yang dipilih untuk memimpin parti sehingga 2021, kemunculan kembali Ahmad Zahid sememangnya dinanti.
Pada 18 Disember lalu, Ahmad Zahid mengumumkan bercuti daripada menjalankan tugas sebagai Presiden UMNO dan menyerahkan tugas itu kepada timbalannya, Mohamad.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!