'Zahid harus belajar dari Tun M'
SHAH ALAM - Pengumuman Ketua UMNO Bagan Datuk, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi semalam untuk kembali memikul tugas Presiden UMNO mendapat reaksi pelbagai pihak tidak terkecuali anak sulungnya, Datuk Nurulhidayah.
Menerusi entri Instagram, Nurul menyatakan harapan kepada ayahnya supaya belajar daripada Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.
"Abah perlu buat dan belajar banyak cara dari Tun M. Hanya jauhari mengenal manikam. Suka atau tidak Tun M terlalu genius.
"Datuk Seri Najib terlalu baik dan lembut dan orang pijak dia tanpa belas," ujarnya.
Dalam pada itu, dia meminta bapanya hidup demi Islam dan menjadi lebih baik.
"Abah, belajar dari Tun M! Belajar dari dia yang hati kering. Tak payah belajar cara nak bagi anak-anak kaya. Bukan boleh bawa duit, harta masuk kubur. Demi Islam," tambahnya.
Pada entri lain, Nurul juga mendoakan kesejahteraan perjalanan Ahmad Zahid dalam menerajui UMNO.
"Allahuakbar! Semoga ALLAH terus memberi kekuatan, kesabaran, kesihatan dan keimanan yang tertinggi untuk terus menerajui UMNO.
"Ya ALLAH, sayangi abah dan berikan ilham dan lancarkan setiap perkataan dan perbuatannya demi Islam.
"Bantu abah Ya ALLAH. Bantu dia Ya ALLAH, Aamiinn! " katanya.
Semalam, Ahmad Zahid membuat pengumuman kembali bertugas sebagai Presiden UMNO ketika berucap pada Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri di Food Court Perdana BD, Kompleks UMNO Bagan Datuk, Sungai Sumun di sini.
Katanya, keputusan tersebut dibuat memandangkan semalam genap setahun beliau dipilih sebagai Presiden UMNO oleh perwakilan daripada 191 bahagian.
ARTIKEL BERKAITAN: Ahmad Zahid umum kembali bertugas
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!