Maszlee dakwa individu menyamar pegawainya, ‘pau’ kontraktor

Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik ketika ditemui pemberita di Lobi Parlimen hari ini. - Foto bernama
Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik ketika ditemui pemberita di Lobi Parlimen hari ini. - Foto bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR – Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik mendakwa wujud pihak yang menyamar sebagai pegawai Kementerian Pendidikan untuk mengutip wang daripada kontraktor.

Beliau menegaskan, pihaknya tidak pernah melantik mana-mana individu untuk melakukan tugas tersebut.

Susulan itu, Maszlee berkata, sesiapa yang mempunyai maklumat mengenai penyamaran itu, disarankan supaya membuat laporan kepada polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Ada pihak tertentu mengaku sebagai pegawai saya, ketua setiausaha kementerian, setiausaha politik dan meminta kontraktor bayar wang untuk mendapatkan tender.

“Kementerian Pendidikan tak pernah ada pegawai kutip duit daripada kontraktor, kalau ada yang mengaku sebagai pegawai lantikan saya dan meminta wang, lapor kepada polis dan SPRM,” katanya ketika ditemui media di lobi Parlimen, hari ini.

Ahli Parlimen Simpang Renggam itu meminta mana-mana pihak yang mengetahui mengenai perbuatan penyamaran itu supaya mengambil gambar sebagai bukti.

Katanya, beliau menerima aduan mengenai perbuatan tersebut di beberapa negeri seperti Johor, Sabah, Kedah dan Perak yang rata-rata meminta wang daripada kontraktor yang mendapat tender di kantin sekolah serta universiti.

“Saya tak pernah lantik pegawai untuk kutip duit daripada kontraktor. Itu salah, rasuah dan salah guna kuasa,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Terdahulu, Maszlee menghargai jasa baik orang awam yang menghebohkan pertandingan tarian yang menampilkan peserta berpakaian mencolok mata sehingga ke pengetahuan Kementerian Pendidikan.

Beliau sekali lagi membuat penegasan bahawa Kementerian Pendidikan tidak pernah menganjurkan atau terlibat dengan sebarang acara tarian separuh bogel seperti yang berlangsung di Ipoh, Perak pada 26 Jun lalu.

“Kami akan ambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang menyalahgunakan logo Kementerian Pendidikan untuk segala aktiviti yang bertentangan dengan apa yang dibawa kementerian.

“Kita juga berterima kasih dengan semua pihak yang membawa perkara tersebut kepada perhatian (kementerian) dengan memviralkannya kerana ia membantu kami untuk mengenal pasti pihak yang menyalah gunakan logo Kementerian Pendidikan untuk tujuan tertentu, terima kasih ini menunjukkan ramai yang sayang Kementerian Pendidikan,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!