Protes kembali landa Hong Kong
HONG KONG - Polis di Hong Kong terpaksa menggunakan semburan lada terhadap kumpulan penunjuk perasaan antikerajaan yang menghalang lebuh raya ketika mereka melancarkan protes baharu awal pagi tadi.
Ketegangan kembali tercetus di bandar raya semi autonomi tersebut selepas sekumpulan peserta protes yang turut memakai topeng menyekat tiga laluan utama pada ulang tahun ke-22 penyerahan Hong Kong kepada China.
Tidak lama sebelum upacara menaikkan bendera ketika acara itu, polis bertindak mengusir penunjuk perasaan di daerah Admiralty dan Wanchai hingga mencetuskan pertempuran ganas.
Beberapa penunjuk perasaan turut membaling telur ke arah polis dan 13 dilaporkan terpaksa dihantar ke hospital selepas disimbah 'cecair tidak diketahui'.
"Ini bukan apa yang kami mahu. Kerajaan memaksa kami menunjukkan bantahan kami melalui cara ini," kata pelajar dikenali sebagai Benny, 20.
Walaupun Hong Kong telah diserahkan oleh British kepada pemerintahan China pada 1 Julai 1997, ia masih ditadbir secara berasingan di bawah perjanjian 'satu negara, dua sistem'.
Bandar raya tersebut menikmati hak dan kebebasan yang tidak dapat dilihat di Tanah Besar China, namun penduduk Hong Kong bimbang Beijing menolak perjanjian tersebut.
Dalam satu kenyataan, Ketua Eksekutif, Carrie Lam berterusan menggunakan nada pendamai dalam setiap ucapannya sejak beberapa minggu lalu.
"Apa yang berlaku sejak beberapa bulan lalu telah mencetuskan konflik antara kerajaan dan penduduk. Situasi ini telah membuat saya memahami sepenuhnya bahawa sebagai ahli politik, saya perlu sentiasa sedar dan memahami perasaan rakyat," katanya.
Sejak tiga minggu lalu, hab kewangan terbabit dilanda siri protes selepas penunjuk perasaan mendesak kerajaan membatalkan rang undang-undang ekstradisi kontroversi selain menuntut pengunduran Lam. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!