Dewan Rakyat lulus usul isytihar harta
KUALA LUMPUR - Dewan Rakyat hari ini sebulat suara meluluskan usul untuk mewajibkan semua Ahli Parlimen, termasuk pembangkang dan keluarga mereka mengisytiharkan pendapatan dan aset kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Mohamad Ariff Md Yusof berkata, perkara itu dipersetujui oleh semua Ahli Parlimen hari ini.
"Ahli Parlimen yang katakan bersetuju, katakan setuju yang tidak kata tidak.
ARTIKEL BERKAITAN: Usul wajibkan MP isytihar harta dibentang di Parlimen
"Tidak ada suara yang tidak bersetuju, usul disetujukan secara sebulat suara," katanya di sini hari ini.
Kerajaan hari ini membentangkan usul untuk mewajibkan semua Ahli Parlimen, termasuk pembangkang dan keluarga mereka mengisytiharkan pendapatan dan aset kepada SPRM.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang), Datuk Liew Vui Keong, (Warisan-Batu Sapi) hari ini yang membentangkan usul itu di Dewan Rakyat mewakili kerajaan menegaskan bahawa usul itu dibuat berlandaskan perjuangan kerajaan di bawah Pakatan Harapan (PH) yang memperjuangkan prinsip akauntabiliti dan ketelusan.
Tambah Vui Keong, untuk itu Ahli Parlimen perlu mengemukakan akuan berkanun kepada Speaker dalam tempoh tiga bulan dari tarikh usul ini dipersetujui dan disalinkan kepada SPRM.
Tegasnya usul yang dibentangkan hari ini terpakai kepada semua Ahli Dewan Rakyat, suami atau isteri, anak yang berumur 21 tahun ke bawah dan semua pemegang amanah yang berkaitan.
Pada 27 Jun lalu, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, usul untuk mewajibkan setiap wakil rakyat perlu mengisytiharkan harta masing-masing akan dibentangkan dalam sidang Parlimen.
Menurutnya, setiap wakil rakyat termasuk pembangkang mempunyai pengaruh yang tersendiri, sekali gus perlu dihindari daripada menggunakan kedudukan untuk mendapatkan habuan.
Sidang Dewan Rakyat Penggal Kedua Parlimen Ke-14 bermula hari ini hingga 18 Julai nanti.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!