Landskap di Genting Highlands terbakar
BENTONG - Pengunjung di kawasan peranginan Genting Highlands di sini berdepan detik cemas apabila pokok hiasan di Sky Tropolis Park terbakar hari ini.
Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Pahang, Mohd Sani Harul berkata, kebakaran kira-kira jam 6 petang itu melibatkan landskap yang menempatkan hiasan pokok bunga plastik sebelum ia merebak ke bahagian bangunan.
"Lapan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Genting Highlands bersama satu jentera bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan pada jam 6.13 petang.
"Sebaik tiba di lokasi kejadian kita mendapati kebakaran berlaku di ruang tangga koridor pejalan kaki antara Hotel First World dan taman tema terbabit," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Menurutnya, pihaknya memadamkan api menggunakan satu aliran 'hose reel' dan tujuh unit alat pemadam api jenis debu kering.
"Kebakaran yang memusnahkan kira-kira 10 peratus landskap itu tidak melibatkan kemalangan jiwa dan kita masih lagi menyiasat punca kejadian dan jumlah kerugian," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!