Pemuda UMNO Johor pesan jangan bertelagah sesama sendiri
JOHOR BAHRU - Pemuda UMNO Johor menyambut baik kenyataan Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki yang tidak mahu pengumuman Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi kembali memimpin parti mencetuskan polemik baru di kalangan ahli.
Ketuanya, Mohd Hairi Md Shah berkata, menjadi harapan pergerakan tersebut supaya tumpuan parti terus kepada sasaran sebenar sekali gus tiada pertelagahan sesama sendiri yang tidak menguntungkan parti.
“Pemuda UMNO Johor berharap tumpuan parti hari ini terus kepada sasaran yang sebenar dan tidak bertelagah antara satu dengan yang lain di dalam parti sendiri kerana akhirnya ia tidak menguntungkan parti.
“Apa yang perlu difokuskan adalah gerak kerja semasa parti dan tentunya agenda penyatuan ummah yang hari ini telah menjadi bualan kepada masyarakat umum,” katanya di sini hari ini.
Mohd Hairi berkata, pengumuman presiden parti itu tidak perlu dijadikan polemik mahupun perkara baharu yang menjadi masalah kepada parti.
“Ini kerana seperti kenyataan pelbagai pihak, ia selaras dengan perlembagaan parti dan hak mutlak beliau selaku presiden parti yang sah.
“Apa yang perlu dilaksanakan hari ini adalah menyantuni dan menyelami suara hati rakyat yang rata-rata tidak berpuas hati dengan kerajaan yang ada hari ini,” katanya.
Beliau turut mengajak ahli UMNO untuk tidak bertelagah sesama sendiri dan menyerang antara satu dengan yang lain.
“Kenalilah musuh kita yang sebenar dan fokus kepada kepincangan dan kecelaruan di dalam PH,” katanya.
Terdahulu, Asyraf dilaporkan berkata pengumuman Ahmad Zahid untuk kembali bertugas selaku Presiden UMNO setelah bercuti tidak harus mencetuskan polemik baru di kalangan ahli.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!