Penyumbang, penerima bantuan akan dilindungi undang-undang
GEORGETOWN - Rang undang-undang untuk melindungi penyumbang dan penerima yang terlibat dalam program Food Bank dijangka dibentangkan di Parlimen pada penghujung tahun hadapan.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, dalam Mesyuarat Jemaah Menteri sebelum ini, beliau telah membentangkan sasaran untuk mengadakan undang-undang tersebut.
Menurutnya, pembentangan undang-undang itu akan mengambil masa kerana perlu menggubal serta mengambil kira pengalaman dari negara lain yang telah lama melaksanakannya.
"Kajian menyeluruh akan dilakukan dengan meneliti modul undang-undang sama di negara lain, yang terdahulu melaksanakan antaranya Perancis; Australia; Amerika Syarikat, Singapura dan United Kingdom. Kita menjangkakan ia akan dibentangkan di Parlimen pada hujung tahun depan.
"Bagaimanapun, undang-undang ini perlu mengikut acuan tempatan iaitu dari segi makanan halal. Ini kerana, di negara ini, konteks halal amat sensitif. Setelah menggubal, ia akan diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara untuk penelitian. Selain itu, kita akan mendapatkan komen dari jabatan-jabatan lain," katanya kepada media tadi.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Perasmian Program Food Bank Malaysia yang disempurnakan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng yang mewakili Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad di sini.
Saifuddin berkata, undang-undang itu akan melindungi pihak penyumbang dan penerima agar tiada masalah yang timbul selepas pengedaran makanan dijalankan.
"Misalnya penyumbang itu adalah jenama antarabangsa yang terkenal. Kebimbangan mereka ialah, niat baik tapi kalau ada sedikit kecacatan yang menjadikan pengguna akhir tu ada masalah, penyumbang bimbang jika mereka terdedah kepada tindakan undang undang.
"Jadi kita kena meneliti aspek-aspek seperti ini. Undang-undang ini juga akan merangkumi setiap aspek dan bukan hanya kepada penyumbang sahaja," katanya.
Tambahnya, program Food Bank itu akan digerakkan ke seluruh negara bermula Januari tahun hadapan.
"Program ini akan digerakkan ke seluruh negara dengan menjadikan bandar besar sebagai pusat pengumpulan makanan (central kitchen). Ini kerana, di pusat bandar terdapat banyak hotel besar dan pasaraya. Makanan dari hotel dan pasaraya ini akan dibawa pusat pengumpulan makanan dan kemudiannya akan disalurkan ke penerima.
"Program ini memberi tumpuan kepada penerima yang kurang berkemampuan, tidak kira mereka berada di bandar atau kampung. Jarak dari pusat pengumpulan makanan ke lokasi sasaran akan dipastikan tidak terlalu agar kualiti makanan terjaga," katanya.
Antara makanan yang akan disumbangkan adalah kari ayam, kari daging, sayur-sayuran, buah-buahan, roti dan kek.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!