'Assalamualaikum, jangan diapa-apakan kami'
KOTA BHARU- Kampung Berhala Lima bukan sahaja mempunyai nama yang unik malah ia menyimpan misteri tersendiri.
Sebagaimana mitos di lokasi lain, kampung yang terletak berdekatan Bandar Satelit Pasir Tumboh ke Limbat itu turut dikaitkan dengan puteri legenda Kelantan iaitu Puteri Saadong.
Kali pertama menjejakkan kaki ke sini, kita pasti terpegun melihat pemandangan alam yang masih terpelihara. Bukan itu sahaja, kewujudan lima batu besar di kawasan tanah rata pasti menimbulkan persoalan.
Jangan lupa beri salam
“Assalamualaikum, ada orang nak mari menjengukmu. Jangan diapa-apalah kami,” kata penduduk, Siti Fatimah Mamat, 86.
Warga emas itu berpesan supaya tidak lupa untuk memberi salam memandangkan lokasi lima batu besar itu dikatakan menjadi penunggu pak belang.
Katanya, tidak ramai anak muda kampung masih mengekalkan tradisi itu, namun disebabkan dia membesar dengan pantang larang tersebut, maka ia menjadi tabiatnya sehingga ke hari ini.
Menurutnya, batu itu dikatakan wujud selepas hulu balang Puteri Saadong iaitu Awang Selamat memikul batu ke Kampung Bukit Marak.
Katanya, ketika dalam perjalanan, beberapa batu yang dipikul terjatuh di kampung berkenaan sehingga terjadi bentuk yang agak unik.
“Mungkin kebetulan tapi batu yang terbentuk itu kelihatan seperti gajah dan kura-kura.
“Tiga lagi batu menghampar ke arah perigi dan dipercayai Awang Selamat turut mengasah senjatanya di situ,” katanya.
Lokasi Puteri Saadong bersiram
Satu lagi keunikan sejarah di Kampung Berhala Lima, ia juga dikatakan menjadi persinggahan Puteri Saadong.
Anak angkat Cik Siti Wan Kembang itu akan bersiram di perigi dekat batu tersebut, sebelum berangkat ke Bukit Marak.
Tidak dinafikan pemandangan indah dari batu besar menghadap bukit, mungkin menjadi penyumbang kepada peristiwa tersebut.
Bagi memelihara keramat lokasi tersebut, Siti Fatimah berkata, Puteri Saadong mengutuskan seekor harimau sebagai ‘penjaga’.
Sehingga ke hari ini katanya, penduduk masih boleh mendengar ngauman pak belang bukan sahaja pada waktu malam malah di siang hari.
“Penduduk percaya pak belang akan datang ke batu keramat ini bagi mengelak ia dijadikan lokasi pemujaan.
“Ini kerana kampung yang sebelum ini dikenali sebagai Bala Limah, terkenal selepas lima batu itu dijadikan tempat pemujaan,” katanya.
Siti Fatimah berkata, ketika ratusan tahun dahulu, hanya segelintir penduduk mampu melihat apatah lagi menyentuh batu tersebut.
Katanya, tanpa ilmu kebatinan penduduk yang ingkar dan buat pemujaan di kawasan itu akan dijangkiti penyakit.
Kisah pinggan mangkuk Puteri Saadong
Satu lagi persamaan kisah dongeng di negeri ini, Kampung Berhala Lima turut dikaitkan dengan peristiwa pinggan mangkuk Puteri Saadong.
Penduduk, Mat Esa Mohamad, 64, berkata, menurut cerita nenek moyang terdahulu, puteri yang memerintah negeri pada tahun 1667 berkenan meminjamkan peralatan dapur kepada penduduk yang mahu mengadakan kenduri.
Bagaimanapun katanya, kecuaian penduduk menjaga peralatan itu sama ada hilang dan rosak menyebabkan Puteri Saadong merajuk dan membawa diri ke Gunong Ayam (sempadan Kelantan-Pahang).
“Sejak itu, penduduk tidak lagi menerima sebarang bantuan daripada Puteri Saadong atau melihat kelibatnya di lima batu tersebut,” katanya.
Dalam pada itu, Mat Esa berkata, biarpun agak janggal mendengar nama Kampung Berhala Lima, namun penduduk tidak kisah jika ia dikekalkan untuk iktibar generasi akan datang.
Katanya, terpulang kepada individu untuk menilai kesahihan cerita itu tetapi ia menjadi dendangan anak kampung sehingga ke hari ini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!