'Saya mahu PDRM dihormati bukan ditakuti'
MUKADIMAH
Perjalanan kerjaya Datuk Seri Abdul Hamid Bador ke puncak pasukan Sang Saka Biru penuh berliku. Kelantangan dan keberanian beliau dalam memperkatakan mengenai isu 1Malaysia Development Berhad menyebabkan Abdul Hamid 'terbuang' daripada pasukan polis yang sudah 40 tahun menjadi darah dagingnya.
Namun tiada siapa pernah menyangka, anak konstabel itu yang pernah 'jatuh' kini menduduki kerusi nombor satu pasukan keselamatan sebagai Ketua Polis Negara ke-12. Ketua Pengarang Kumpulan Sinar Harian, Datuk Baharom Mahusin, Timbalan Pengarang Berita Sinar Harian, Zamri Rambli dan wartawan meja Jenayah, Nurulatiq Ahmad Bandi serta Muhammad Afham Ramli menemubual Abdul Hamid secara eksklusif di Bukit Aman, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Dalam temu bual itu, Hamid bercerita mengenai pelbagai perkara termasuklah kontroversi pelantikannya, cita-cita dan perjuangan memartabatkan pasukan polis di mata rakyat.
Datuk Seri telah sekitar 55 hari menjadi Ketua Polis Negara dan apabila dilantik ke jawatan tertinggi itu tentu Datuk Seri ada cita-cita. Apakah cita-cita berkenaan?
HAMID: Cita-cita saya untuk mengembalikan imej PDRM (Polis Diraja Malaysia) ke tahap yang tinggi. Dengan tercapainya cita-cita saya bermakna masyarakat akan mendapat khidmat yang terbaik daripada PDRM.
Saya ingin mewujudkan satu pasukan PDRM yang berkhidmat dengan penuh rasa tanggungjawab menegakkan undang-undang supaya dapat mewujudkan persekitaran yang selamat bagi kebaikan negara. Apabila PDRM mendapat keyakinan daripada masyarakat dan undang-udang dilaksanakan dengan telus adil ia akan memberi ruang mewujudkan suasana yang cukup baik bagi semua orang baik rakyat mahupun pekerja asing yang cari rekezi, pelancong yang datang menikmati keindahan negara dan juga pelabur-pelabur asing.
Saya nak memberikan mereka keyakinan apabila kita ada sebuah pasukan polis yang dinamik, berwibawa maka secara automotik lebih ramai pelabur dan pelancong datang ke sini.
Sebelum Datuk Seri menjadi Ketua Polis Negara, selama beberapa dekad Datuk Seri menjadi pegawai polis dari peringkat bawah sehingga naik ke atas. Apakah yang Datuk Seri lihat dari segi kekuatan PDRM dan kelemahannya?
HAMID: Kekuatan PDRM yang saya lihat ramai tenaga kerja PDRM yang sebenarnya baik-baik belaka. Mempunyai ciri yang baik dalam diri. Berlaku kelemahan selama ini dari sudut penyeliaan pegawai atasan untuk menyelia dengan baik pegawai pangkat rendah ini. Ia menyebabkan ramai yang tersasar untuk melakukan pelbagai kesalahan. Dan dalam kalangan pegawai-pegawai atasan juga memang terdapat mereka yang cuai yang tidak melaksanakan tanggungjawab mereka sebagai penyelia untuk memastikan bahawa warga kerja PDRM ini dapat berkhidmat dengan penuh disiplin dan melaksanakan kewajipan mereka dengan sifat-sifat manusiawi.
Jadi itulah yang saya lihat. Kekuatannya adalah sebenarnya pada asasnya 100,000 lebih warga PDRM adalah baik-baik. Mereka telah diberikan latihan yang cukup di pusat latihan, diberikan ilmu dilatih dengan disiplin tertentu untuk melaksanakan tanggungjawab mereka, tetapi kemudian wujud kelemahan-kelemahan yang saya sebutkan ini, penyeliaan yang hampir tidak ada, kecuaian pegawai atasan yang gagal memainkan peranan mereka. Itu menyebabkan ramai yang terpalit dengan salah laku disiplin dan ramai juga yang terjerumus ke alam penjenayah.
Boleh Datuk Seri jelaskan sebagai contoh kes tersasar dan cuai tadi?
HAMID: Kita dapat lihat bukan sejak sebulan dua ini, tapi sejak tahun-tahun yang dulu dilaporkan dalam media sendiri, bagaimana ramai pegawai pangkat rendah dan pegawai kanan polis yang telah diheret ke mahkamah didakwa dalam pelbagai salah laku dan kesalahan ada yang merompak, membunuh ada yang terlibat dengan dadah rasuah, jadi banyak penglibatan yang berlaku.
Itu yang dapat ditangkap, yang tak dapat ditangkap yang menjadi sebutan orang ramai sekarang sejak akhir-akhir ini, memang banyak rungutan orang yang mengatakan polis ni sudah jauh terpesong daripada peranan dan tanggungjawab yang mana cakap-cakap di belakang mengatakan hampir keseluruhannya mengamalkan rasuah. Jadi itulah yang berlaku sebenarnya. Memang ada berlaku banyak kes yang jelas menunjukkan bahawa sesuatu yang tidak betul yang tidak kena dengan perjalanan PDRM.
Dalam organisasi yang besar ini lebih daripada 100,000 orang anggota dan pegawai, bagaimana Datuk Seri hendak membersihkan PDRM?
HAMID: Pada saya ia perkara mudah, sebab saya amat optimis, saya berkeyakinan bahawa apa juga misi dan visi saya untuk mengembalikan PDRM pada kedudukan yang sepatutnya imej yang baik. Sebab saya dah sebutkan tadi bahawa pada asasnya mereka ini baik. Jadi bukannya mereka keluar dari pusat latihan itu dengan dilatih untuk melakukan jenayah ataupun sebelum mereka menyertai latihan dan pasukan ini mereka ini terdiri daripada penjenayah tegar di luar. Itu membuatkan kerja saya senang dan saya sekarang melibatkan barisan pucuk pimpinan tertinggi Timbalan KPN dan pengarah-pengarah ini dalam interaksi saya.
Setiap minggu bersama dengan mereka jelas terbayang bahawa mereka ikhlas untuk membantu menjayakan wawasan saya. Sebab itu sejak akhir-akhir ini banyak kejayaan yang luar biasa yang dicapai oleh jabatan-jabatan di bawah PDRM. Contohnya penangkapan dan rampasan rokok-rokok seludup arak-arak seludup oleh Polis Marin dan juga oleh Pasukan Gerakan Am di sepanjang pantai dari Sabah Sarawak dan Semenanjung.
Bagi pihak Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) gerakan menggempur premis judi dan maksiat berjalan sampai letih anak buah saya. Untuk mengesan dan menangkap ini senang dan mudah tapi tindakan susulan dari sudut undang-undang yang perlu dipenuhi itu yang remeh sikit, makan waktu. Jadi lebih banyak kes berjaya, tindakan operasi itu berjaya dilaksanakan bertambah berat kerja susulan yang mereka perlu ambil untuk diselesaikan sebab tindakan mereka menangkap, merampas sebenarnya bukan untuk nak cuci mata sahaja. Matlamatnya adalah untuk membawa semuanya ke muka pengadilan.
Jadi Datuk Seri rasa perubahan sikap pegawai dan anggota bukan perubahan sikap untuk sementara?
HAMID: Banyak perubahan sikap yang berlaku dalam kalangan anggota dan pegawai dan saya yakin ia bukan untuk sementara, saya nampak keikhlasan di pihak mereka dan ramai antara pegawai di bawah ini yang tahu nombor telefon saya secara diam-diam menghantar WhastApp menyokong tindakan ini dan mengharapkan saya sendiri agar jangan hangat-hangat tahi ayam sahaja. Mereka minta saya sebagai ketua untuk terus berikan penekanan dan mereka di bawah sanggup meneruskan sehingga ke akar umbi.
Jadi kejayaan banyak, macam ke atas kumpulan warga Nigeria yang membawa budaya songsang yang terlibat dengan jenayah love scam dan money scam ini berjaya dirungkai dan ditangani oleh Jabatan Siasatan Jenayah Komersial. Di pihak daerah dan kontinjen pula serbuan demi serbuan dilakukan contohnya di kontinjen Selangor penempatan warga Nigeria yang memang disyaki menjalankan kegiatan jenayah love scam dan money scam dan sindiket dari negara China.
Maklumat daripada orang ramai memang banyak, mencurah-curah masuk tetapi kita ada kekangan dari sudut kemampuan nak menjalankan tindakan itu segera disebabkan kita mesti menyelesaikan kes satu demi satu kerana sekiranya tidak kita takut nanti dia tak sampai ke penghujungnya.
Dalam tempoh 55 hari lepas apabila Datuk Seri berjumpa dengan pucuk pimpinan PDRM pegawai-pegawai di negeri dan anggota di balai-balai, apakah amanat utama mesej-mesej penting untuk mereka?
HAMID: Hampir setiap kali bertemu dalam mesyuarat bersama mereka, perkataan pertama yang akan keluar daripada saya ialah marilah bersama-sama dengan saya untuk mengembalikan, meningkatkan integriti. Jadi dari sudut itu tidak adapun tentangan daripada sesiapa pun dan yang saya nampak reaksi daripada mereka ikhlas. Mereka nak membantu menjayakan wawasan saya ini. Jadi itulah mesej saya tentang integriti.
Sekiranya berjaya ditingkatkan integriti ini tadi maka akan berkuranglah kes-kes pegawai dan anggota yang terlibat dengan rasuah. Dan banyak lagi salah laku lain yang selama ini memang menyakiti hati orang ramai. Kes-kes yang telah dibuat pengadilan tetapi tidak diambil tindakan ataupun sekiranya diambil tindakan lewat, jenayah yang dilaporkan pihak polis dilihat lembab ataupun didakwa dituduh sebagai cuba untuk menutup kes tersebut sebab mungkin ada unsur-unsur rasuah di pihak yang melakukan kesalahan.
Begitulah andaian orang ramai terhadap polis ini, jadi itulah saya pentingkan integriti, kembalikan integriti dalam diri masing-masing sedar bahawa sumpah keramat yang kita lafazkan di Pusat Latihan Polis (Pulapol) dulu jelas menghendaki kita menjalankan amanah dan tanggungjawab untuk mengekalkan dan menguatkuasakan undang-undang dengan penuh adil.
Jadi itulah integriti, Insya-ALLAH saya yakin sebagaimana saya sebutkan tadi, saya sangat optimis mereka sudahpun menunjukkan sokongan yang mereka lafazkan. Jadi saya minta orang ramai bersabar Insya-Allah, usaha saya ini bukan usaha melepaskan batuk di tangga atau hangat-hangat tahi ayam ataupun satu sandiwara bagaimana orang cenderung nak menuduh polis.
Berikan sedikit waktu pada saya dan pegawai saya di bawah, komander-komander di daerah dan Insya Allah kita akan dapat lihat perubahan sebagaimana yang diidamkan oleh rakyat PDRM sebagai satu pasukan yang dinamik yang boleh diharapkan yang boleh membantu mereka apabila mereka diperlukan.
Datuk Seri tidak rasa pelantikan ini penuh dengan kontroversi?
HAMID: Ada saya dengar, macam-macam kritikan oleh pihak tertentu yang menyatakan bahawa saya ini, macam mana pula seorang yang telah bersara boleh dipanggil balik dan diberikan kontrak jabatan. Ada yang memanggil saya kontraktor lah dan sebagainya.
Itu tak penting bagi saya. saya terima. Itu mungkin niat dia untuk berjenaka dan sebagainya tapi bagi saya yang penting adalah terima jawatan tersebut selepas beberapa kali saya tolak sebelum ini dengan rasa insaf dan kesedaran dengan menanam diri untuk tekad hendak menggunakan kontrak dua tahun berusaha mengembalikan nama baik PDRM.
Sejak menjadi Ketua Polis Negara, Datuk Seri dilihat kerap melakukan lawatan mengejut ke balai-balai, adakah pendekatan itu sengaja diambil ataupun ada strategi tertentu yang disusun?
HAMID: Itu spontan, sebenarnya dalam diri saya, saya percaya kepada stail untuk melihat sendiri dan baru kita percaya daripada berdasarkan daripada pihak ke dua ketiga dan keempat saya percaya dengan saya turun sendiri, saya dapat membuat pemerhatian, berinteraksi dan saya akan dapat maklum balas yang terbaik yang ikhlas daripada mereka.
Tujuan saya buat itu tidak dengan niat untuk buat pemeriksaan mengesan salah laku. Teguran saya buat misalnya balai tu nampak tak kemas sampah ada, saya akan tegur saya beritahu bahawa kebersihan ini tanggungjawab anggota kalau kerosakan berek itu tanggungjawab kerajaan.
Mana yang bersih cantik kemas saya berikan pujian dan dorongan untuk mereka terus kekalkan pengurusan balai dan kawasan sekeliling jaga kebersihan. Saya juga mengingatkan anak buah saya berhati-hati ketika menggunakan kenderaan. Saya pergi balai-balai kecil beri nasihat, beri peluang kepada anak buah saya di bawah untuk berinteraksi dengan saya menyampaikan apa sahaja perkara yang mungkin terbuku di hati yang mungkin selama ini tidak dapat diluahkan.
Sekali gus juga saya hendak menyampaikan mesej jawatan Ketua Polis ini bukan satu jawatan yang macam wali, maknanya jawatan ini mesti dibersihkan daripada orang awam. Ketua Polis mesti jaga protokol dan peraturan tertentu yang memisahkan dengan orang lain. Saya tak percaya itu semua. Saya anggap jawatan itu tanggungjawab sebenarnya, ia bukan satu status yang mana keluarga saya ini tidak boleh didekati sebab kalau nak dekat dengan saya mesti ada proses tertentu.
Memanglah betul dalam kerja harian saya tidaklah sampai orang berbaris menunggu nak jumpa saya, tapi apabila saya mempunyai waktu saya akan turun ke lapangan. Cara macam itulah yang akan saya buat. saya nak memecahkan mitos yang mengatakan Ketua Polis Negara ini satu jawatan keramat tak boleh disentuh sedangkan saya hanya manusia biasa sahaja, yang diberikan amanah. Tanggungjawab itu yang penting itu saya tekankan tak mahu KPN dianggap tak boleh didekati.
Datuk Seri juga dilihat turun ke lokasi-lokasi jenayah seperti semasa serbuan di perkampungan warga Nigeria di Desa Aman Puri baru-baru ini. Boleh komen sedikit?
HAMID: Saya memberikan notis yang singkat dan alhamdulillah respons daripada anak buah sangat pantas, permintaan daripada saya itu apabila saya beritahu saya nak turun nak lihat sendiri, aduan itu saya terima melalui WhatsApp sahaja.
Ada hamba ALLAH mana entah mengatakan bahawa mereka hidup dalam ketakutan. Cuba bayangkan kalau kita sebagai rakyat di negara ini hidup takut disebabkan oleh tingkah laku ataupun perangai budaya yang dibawa oleh warga asing. Bayangkan kita warga negara kita takut, itu saya cukup sensitif. Itu sebabnya saya ambil keputusan untuk turun dan Alhamdulillah respons daripada anak buah semuanya baik. Sehingga ke hari ini sebagaimana yang saya sebutkan tadi kejayaan-kejayaan dicapai dalam menggempur tempat-tempat warga asing yang berperangai tak senonoh dan akan terus akan diambil tindakan. Selagi masalah itu wujud akan terus bertindak.
Sering kita dengar, kegiatan-kegiatan jenayah terutamanya yang bertaraf jerung besar dilindungi pihak berkuasa tidak terkecuali anggota dan pegawai polis. Bagaimana Datuk Seri melihat senario ini? Adakah ia barah yang membimbangkan dalam pasukan polis?
HAMID: Ya. Sebab itu saya keluarkan kenyataan mengarahkan kesemua pegawai dan anggota yang mempunyai hubungan, kaitan dengan personaliti tertentu yang terlibat dalam aktiviti dadah, judi dan maksiat supaya menghentikan dan memutuskan hubungan. Ini bagi memudahkan tindakan diambil sekiranya diarahkan untuk tindakan tanpa was-was. Sekiranya ada hubungan tertentu, kesalahan lain akan dilakukan contohnya membocorkan maklumat rancangan operasi yang bakal dilakukan pasukan operasi.
Selain itu, mereka juga selalu ditawarkan oleh tauke-tauke untuk sesi berhibur dengan percuma. Ada yang sambut dan anjur majlis hari jadi di pusat hiburan. Anggota polis, bayangkan! buruk ke tidak? Anggota polis meraikan hari jadi dalam premis hiburan secara percuma! Itu adalah rasuah, sehingga ada yang mati dan ada yang ambil dadah.
Kes sebegini terdedah dengan pengetahuan orang ramai, bila polis duduk di pusat hiburan mesej apa yang diberi kepada orang ramai? Rasuah! Saya akan ambil tindakan. Saya adil dan saya beri peluang untuk mereka kembali sedar tentang tanggungjawab mereka.
Bagaimana sekiranya ada lagi anggota dan pegawai Datuk Seri masih mempunyai hubungan dengan sindiket ini?
HAMID: Saya telah keluarkan satu arahan melarang semua warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk mengunjungi tempat-tempat sebegini. Spesifik arahan saya, sebenarnya arahan ini telah ada lebih kurang 20 tahun dulu tapi lama kelamaan arahan tinggal arahan sahaja, tidak pernah dikuatkuasakan, kalau dikuatkuasakan pun hanya hambar sahaja. Kali ini saya berikan nafas dan mesej baru bagi ianya jelas dan ia berkuat kuasa serta-merta.
Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) telah diberi arahan untuk mereka turun dan pantau bagi menguatkuasakan, sekiranya tertangkap mereka ini akan diambil tindakan tatatertib. Sekiranya diyakini ada maklumat mengatakan keberadaan mereka di dalam pusat hiburan untuk berhibur dan ambil dadah apa semuanya, mereka akan dikenakan proses seperti orang awam dengan ujian air kencing dan ujian darah. Saya tidak akan berkompromi dan siasatan akan dibuka.
Datuk Seri jenayah ini besar ruang lingkupnya. Jenayah mana paling dibimbangi sekali?
HAMID: Semuanya saya bimbang. Jenayah ini ada musim, ada ketikanya jenayah seperti samun berlaku bila hampir musim perayaan, selepas itu ada pula kes ragut dan ia akan berlaku ikut musim tertentu.
Dulu satu ketika dan kes culik dan rogol, tapi selepas tindakan drastik polis, kes itu diam, tapi kes lain pula timbul. Selagi dikatakan jenayah, saya tiada penilaian tertentu. Saya ambil berat dan yang paling dapat perhatian adalah jenayah kekerasan dengan mencederakan orang seperti kes yang berlaku dalam sebuah lif di Stesen Transit Aliran Massa (MRT) Taman Mutiara, Cheras sebelum ini.
Dalam teknologi canggih, berjuta orang melihat video kejadian tersebut. Automatik akan menimbulkan perasaan marah dan bimbang. Apa yang difikirkan bapa di kampung, anak perempuan bekerja di Kuala Lumpur, mereka jadi takut. Jadi, memang saya beri perhatian semua bentuk jenayah.
Datuk Seri, di Malaysia ada kes yang dilihat tidak selesai seperti kes tembak Timbalan Ketua Pengarah Kastam, Datuk Shaharuddin Ibrahim di Putrajaya pada tahun 2013. Kes sebegini disiasat seperti tiada hujungnya. Apakah nasihat kepada pegawai Datuk Seri?
HAMID: Banyak kes sejuk di mana tiada maklumat atau petunjuk baharu yang boleh membantu polis selesai siasatan bagi menangkap penjenayah tersebut. Tidak ada apa yang boleh dilakukan kecuali dari semasa ke semasa menggunakan peruntukan yang diperoleh dari Kementerian Dalam Negeri (KDN) dengan meningkatkan latihan, teknik siasatan dan perolehan peralatan canggih untuk membantu siasatan jenayah dapat dioptimumkan penggunaannya.
Tentang kes serangan pengganas di Lahad Datu dan Semporna, Sabah beberapa tahun lepas. Datuk Seri dengan beraninya membuat perundingan dengan pengganas tanpa memakai sebarang perisai kalis peluru. Bagaimana pemikiran dan penilaian Datuk Seri tentang keselamatan ketika itu?
HAMID: Ya memang berlaku peristiwa itu semasa saya mengambil tindakan dengan ketua mereka (pengganas) ketika itu. Saya ambil keputusan itu selepas saya lihat maklumat yang ada semasa saya menjadi Timbalan Pengarah Cawangan Khas. Itu yang buat saya berani untuk berdepan terus dengan pengganas terbabit. Bukannya saya buat keputusan semberono atau bahasanya 'gila babi' atau nak tunjuk saya berani atau apa. Semua tindakan tersebut dibuat berdasarkan kepada pengalaman dan juga maklumat yang ada ketika itu, saya tidak bimbang.
Saya tahu mereka dikepung dan sekiranya mereka tembak saya, sekelip mata mereka akan habis sebab pasukan VAT69, Unit Tindakan Khas, Pasukan Polis Marin dan Pasukan Gerakan Am ada di situ, saya tidak takut, saya yakin mereka (pengganas) tidak akan buat silap percaturan untuk menembak saya. Apa sahaja tindakan saya masa itu, bukan hendak tujuk saya gagah berani tanpa hiraukan keselamatan diri, itu ayat sastera sahaja.
Datuk Seri, berkenaan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC), ada pihak yang dikatakan setuju dan tidak. Adakah Datuk Seri lihat ia sebagai cabaran terbesar PDRM?
HAMID: Saya yakin 100 peratus warga PDRM terima dan proses menyampaikan maklumat yang tepat sedang berjalan terus ke akar umbi melalui mesyuarat di peringkat Bukit Aman, kontinjen dan daerah. Mesej yang disampaikan kepada meraka adalah yakin dengan kepimpinan saya dan pada waktu yang sama bukan sekadar retorik daripada mulut saya.
Kita sudah berinteraksi dengan pihak Pusat Governans, Integriti dan Antirasuah Nasional (GIACC). Saya tidak nampak halangan yang besar yang mengatakan sekiranya IPCMC dilaksanakan nanti, akan hilang daulat PDRM. Itu adalah tidak benar dan saya yakin dengan anak buah saya, apa nak takut, buat kerja ikut peraturan undang-undang, tidak akan timbul perkataan IPCMC walaupun dia ada. Jika tidak lakukan kesalahan, usah risau dengannya (IPCMC).
IPCMC akan jalankan peranannya untuk menangani kesalahan, jadi sedarlah sebagai warga PDRM usah lakukan kesilapan. Itulah proses mendidik mereka ini, hentikan pergaulan dan hubungan dengan pihak tidak bertanggungjawab, itu semua proses pendidikan anak buah saya ke arah menyediakan minda untuk menerima IPCMC.
Kebimbangan kononnya apabila tindakan diambil ke atas mana-mana pegawai dan anggota polis, bila hukuman dijatuhkan mereka tidak boleh merayu, itu adalah tidak betul. Mana ada hukuman tidak boleh dirayu. Itu menafikan hak seseorang untuk pembelaan dari sudut undang-undang yang dikatakan 'natural justice'. Mana yang dihukum berhak merayu, orang yang nak dihukum gantung boleh dirayu, takkanlah orang yang lakukan kesalahan tatatertib tidak boleh merayu.
Adakah dengan bakal tertubuhnya IPCMC menunjukkan peranan JIPS tidak cukup sempurna?
HAMID: Saya akan perkasakan JIPS dan pegawai berwibawa akan dibawa masuk ke dalam jabatan ini.
Di bawah IPCMC, peranan JIPS tidak dikurangkan. Sebagai KPN, saya lihat sebagai satu komponen penting, saya akan buat IPCMC itu seperti tidak relevan walaupun telah diluluskan undang-undang, saya kalau boleh hendak usahakan menjadikan IPCMC tidak relevan sebab JIPS ini dari dulu sudah bertindak memperkasa pasukan.
Datuk Seri diberi kontrak selama dua tahun sebagai Ketua Polis Negara. Adakah akan berlaku keadaan bila Datuk Seri rasa ia terlalu berat untuk Datuk Seri menyambung kontrak itu?
HAMID: Perkara ini telah saya bincangkan dengan timbalan saya, Datuk Mazlan Mansor. Insya-ALLAH kami ada satu pelan penggantian pegawai. Cuma kita dalam proses uji mereka, sekiranya dalam tempoh tiga hingga empat bulan ini mereka yang dikenal pasti gagal puaskan hati, mereka akan dikeluarkan dari senarai dan kami akan cari pegawai lain yang bakal ambil alih yang akan dapat tempoh khidmat lagi lama daripada saya.
Bagi saya tempoh dua tahun diberi kerajaan ini setimpal bagi saya melaksanakan harapan kerajaan. Tetapi demi kebaikan masa depan, saya akan kenal pasti barisan pelapis. Saya akan bincang dengan Datuk Mazlan tentang senarai nama dari segi umur, pengalaman, rekod integriti dan tidak rasuah. Mereka inilah yang ada nilai-nilai baik dan bakal gantikan saya dan Datuk Mazlan.
Harapan rakyat terhadap Datuk Seri adalah besar. Apakah harapan Datuk Seri dan apa yang akan dicapai?
HAMID: Dalam tempoh dua tahun ini, apa yang saya harapkan pasukan polis ini dapat diterima rakyat dan orang ramai menghormatinya. Saya mahu PDRM dihormati, bukan ditakuti. Saya nak orang ramai hormati bukan sebab baju biru, kuasa yang banyak, tetapi sebab mereka dapat khidmat terbaik sebagaimana yang digariskan undang-undang.
Jadi saya tunggu masa itu, saya berkhidmat dengan bertungkus-lumus untuk capai suasana sedemikian. Biar saya dapat mesej orang ramai beri hormat kepada PDRM, ketika itulah saya rasa misi saya tercapai, apa guna saya bentang statistik bermacam kejayaan, tetapi indeks kepuasan hati orang ramai kepada polis merudum.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!