Perlembagaan dan #Undi18

KOLUM: ADA APA NEGARAKU?

A
A
A

PADA 19 September tahun lalu, Kabinet bersetuju menurunkan had umur kelayakan mengundi daripada 21 tahun kepada 18 tahun yang dijangka dilaksanakan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Kemudian, pada Oktober tahun lalu, pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sendiri telah mengambil inisiatif untuk mengadakan sesi perbincangan dengan parti politik di negara ini mengenai cadangan meminda Perlembagaan Persekutuan dalam membenarkan rakyat Malaysia mengundi bermula usia 18 tahun. Sebanyak 32 daripada 51 parti politik yang hadir sesi tersebut telah menyatakan persetujuan masing-masing.

Perkara 119(1) Perlembagaan Persekutuan telah menetapkan hak dan had umur seseorang rakyat untuk mengundi di negara ini. Ketika ini, seseorang rakyat Malaysia yang telah mencapai umur 21 tahun dan bermastautin di sesuatu kawasan pilihan raya pada tarikh beliau layak untuk mengundi dan sudah didaftarkan dalam daftar pemilih, layak dan berhak untuk mengundi dalam mana-mana pilihan raya di negara ini.

Sudah semestinya dalam membenarkan rakyat Malaysia berusia 18 tahun ke atas untuk mengundi, Perkara 119(1)(a) Perlembagaan perlu dipinda. Malaysia sudah tentu bukanlah negara pertama yang cuba untuk menurunkan had umur kelayakan untuk mengundi.

Banyak negara lain telah menurunkan had umur mengundi kepada 18 tahun, dimulai dengan Turki yang menurunkan had umur mengundi pada tahun 1924 dan diikuti oleh Brazil pada 1934. Kebanyakan negara lain turut menurunkan had usia mengundi pada sekitar 1970-an.

Malah, Malaysia dan Singapura merupakan satu-satunya negara ahli ASEAN yang mempunyai had usia mengundi pada usia 21 tahun, sedangkan lain-lain negara ahli ASEAN sudah lama menurunkan had usia kelayakan mengundi di negara mereka. Indonesia sendiri mempunyai had umur mengundi serendah 17 tahun. Tambahan, beberapa negara lain seperti Scotland, Austria dan Argentina mempunyai had usia kelayakan mengundi terendah di dunia iaitu pada usia 16 tahun.

Sesuai

Secara peribadi, usia mengundi 18 tahun adalah satu usia yang sesuai. Jika pada usia 18 tahun, seseorang individu sudah dibolehkan untuk menandatangani kontrak, dibenarkan untuk merokok dan sebagainya, sudah tentu pada usia 18 boleh dianggap sebagai sesuai untuk rakyat kita mengundi.

Artikel Berkaitan:

Cuma, berdasarkan kepada pengalaman peribadi saya sendiri, usia 18 tahun masih agak kurang matang dalam mengenal dunia politik. Pendedahan kepada alam politik begitu sempit. Secara kasarnya, pegangan politik saya ketika berusia 18 tahun masih dipengaruhi orang sekeliling saya terutamanya ibu bapa saya.

Jika kerajaan serius untuk mempertimbangkan cadangan menurunkan umur mengundi kepada 18 tahun, antara langkah yang wajar disertakan sekali ialah pendidikan politik di sekolah. Mereka perlu didedahkan dengan ideologi parti politik di negara ini. Kemudian, biarkan anak remaja ini memilih haluan ideologi politik masing-masing. Mereka perlu disedarkan dengan kepentingan setiap undian mereka.

Kerajaan perlu melakukan sesuatu dalam mendidik anak muda terutamanya pelajar di sekolah menengah mengenai sistem politik di negara ini serta bagaimana ideologi politik berfungsi. Bagaimanapun, sudah tentu akan ada risiko dan ruang untuk mana-mana parti yang menggerakkan kerajaan menyalahgunakan sistem pendidikan dalam mencuci minda anak-anak remaja untuk menyokong parti mereka.

Usia 18 tahun adalah usia yang masih mentah dalam memahami dunia luar. Sebelum ini, dunia mereka hanya mengenai alam persekolahan. Namun, apabila mereka sudah keluar daripada alam persekolahan, anak remaja ini perlu dipastikan agar sudah bersedia untuk mengenal alam politik.

Dalam meminda Perkara 119(1) Perlembagaan Persekutuan ini, undian 2/3 majoriti ahli Dewan Rakyat diperlukan. Ini bermaksud, cadangan pindaan ini memerlukan sokongan bukan sahaja daripada ahli Dewan Rakyat Pakatan Harapan, malah dalam kalangan ahli Dewan Rakyat pembangkang juga.

Diharap ahli Dewan Rakyat boleh mengetepikan perbezaan ideologi politik masing-masing dan akan menyokong cadangan pindaan had umur ini. Para remaja berusia 18 tahun di negara ini perlu diberikan kepercayaan untuk turut sama meraikan sistem demokrasi di negara ini.

Kita perlu yakin, usia 18 tahun adalah satu usia yang sudah sesuai untuk mengundi. Cuma, apa yang tinggal adalah satu revisi yang holistik perlu dilakukan terhadap kurikulum pendidikan di negara ini agar remaja sekolah menjadi lebih matang dalam berfikir. Ayuh! Kita sokong gerakan #Undi18.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!