Kenaikan gaji ATM, PDRM perlu disegerakan
ISU gaji rendah anggota perkhidmatan awam khasnya anggota polis dan tentera sudah lama ditimbulkan namun masih gagal diselesaikan sehingga hari ini.
Ketika pengorbanan anggota-anggota keselamatan itu terserlah bagi memastikan ketenteraman awam sentiasa terkawal, pihak kerajaan jangan pula mengabaikan segala usaha dan tenaga yang mereka curahkan.
Pada awal bulan lalu, perolehan gaji yang rendah diterima oleh anggota polis berpangkat rendah dibangkitkan oleh Ketua Polis Negara baharu, Datuk Seri Abdul Hamid Bador.
Menurut Ketua Polis Negara, gaji, logistik dan keperluan anggota polis berpangkat rendah perlu diberi keutamaan dalam usaha meningkatkan integriti pasukan tersebut.
Beliau berpendapat, gaji yang diperoleh anggota polis berpangkat rendah iaitu daripada berpangkat sarjan ke bawah adalah rendah dan tidak mampu menampung kos sara hidup terutama bagi mereka yang bertugas di bandar besar.
Keprihatinan Abdul Hamid mengenai kebajikan anggota polis turut disokong oleh Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu kelmarin yang menyatakan pelaksanaan kenaikan gaji kepada anggota tentera juga perlu dipertimbangkan oleh kerajaan.
Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bersetuju cadangan kenaikan gaji untuk anggota polis namun kerajaan perlu mengkaji kerana ia turut berkaitan struktur tangga gaji yang ditetapkan Jabatan Perkhidmatan Awam.
Kini terserahlah kepada pihak kerajaan untuk memikirkan langkah terbaik bagi menjamin kebajikan anggota polis dan tentera berpangkat rendah ini terus terpelihara. Kerajaan sepatutnya mengkaji dengan segera skim gaji dan kebajikan anggota-anggota berkenaan bagi mengelakkan mereka terus terhimpit dengan masalah kos sara hidup yang tinggi.
Tidak dinafikan, gaji kecil anggota polis dikatakan menjadi pendorong utama kepada penglibatan mereka dalam gejala yang tidak bermoral seperti rasuah dan penyalahgunaan kuasa.
Sekiranya gaji anggota polis berpangkat rendah dinaikkan, kes rasuah membabitkan anggota berkenaan pasti dapat dielakkan.
Selain itu, kenaikan gaji bukan sahaja mampu meringankan beban sara hidup, ia turut dapat menaikkan semangat dan moral anggota polis dan tentera ketika menjalankan tugas mereka.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!