Lelaki maut, kereta dipandu terjunam ke dalam gaung
KOTA KINABALU - Seorang lelaki maut selepas kereta dipandunya terjunam ke dalam gaung sedalam 20 meter yang digenangi air di Jalan Rosob Dandun, dekat Pitas, hari ini.
Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Sabah dalam kenyataan berkata, mangsa Jelmen Atan, 34, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan sebelum mayatnya dibawa ke hospital untuk tindakan lanjut.
Bomba menerima panggilan kecemasan pada jam 8.31 pagi sebelum sepasukan pegawai dan anggota Balai Bomba Penyelamat Kota Marudu bergegas ke lokasi kejadian terletak 50 kilometer.
"Mangsa berjaya dikeluarkan dari kenderaannya oleh pasukan bomba yang melakukan operasi selaman," menurut kenyataan itu. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!