Tergantung dari tingkat 33 bangunan hotel
KUALA LUMPUR - Dua pekerja pencuci bangunan tergantung di luar sebuah hotel di Persiaran KLCC hampir 20 minit selepas gondola yang digunakan mereka menghadapi masalah teknikal pagi tadi.
Seorang daripadanya tergantung di tingkat 33 sementara seorang lagi tersangkut dalam gondola di tingkat 1.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur berkata, pasukan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jalan Tun Razak dan Hang Tuah dengan kekuatan 13 anggota ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan kecemasan jam 10.57 pagi.
"Mangsa pertama tergantung dengan memakai harness di tingkat 33 ketika membuat kerja-kerja pembersihan tingkap manakala mangsa kedua tersangkut dalam gondola di tingkat 1.
"Mangsa pertama diselamatkan dengan kaedah ascending iaitu menaikkan mangsa ke tingkat 34 sementara mangsa kedua diselamatkan menggunakan kaedah Aerial Ladder Platform," katanya.
Katanya, operasi menyelamat pekerja dari Nepal berusia 30-an itu selesai pada jam 11.49 pagi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!