Wang simpanan RM5,000 lesap sekelip mata
KUALA TERENGGANU - Seorang lelaki hanya mampu berputih mata apabila wang simpanannya sejumlah RM5,000 lesap sekelip mata akibat ditipu individu menyamar sebagai pegawai polis berpangkat inspektor dari Bukit Aman.
Kejadian berlaku selepas mangsa, 60, dari Kampung Pulau Musang, di sini, menerima panggilan daripada seorang lelaki memperkenalkan diri sebagai 'Inspektor Daud' dari Bukit Aman, kira-kira jam 3 petang, Rabu lalu.
Menurut sumber, 'Inspektor Daud' memaklumkan kononnya mangsa dikesan bersubahat dengan seorang lelaki yang bekerja sebagai pegawai di sebuah bank dalam kegiatan wang haram.
Sumber berkata, suspek menjelaskan kononnya mangsa membenarkan pegawai itu menggunakan akaun bank miliknya untuk urusan aktiviti wang haram itu.
"Bagaimanapun, suspek memaklumkan mangsa masih boleh selamat dan berpeluang mengelak dirinya ditahan polis tetapi perlu membuat pembayaran RM5,000 dengan segera.
"Akibat terlalu takut dan terkejut, tanpa berfikir panjang, mangsa terus ke bank di sini sebelum memasukkan RM5,000 ke dalam akaun sebuah bank diberikan suspek," katanya ketika dihubungi.
Jelas sumber lagi, pada awalnya mangsa langsung tidak mengesyaki dirinya sudah terperangkap dengan sindiket penipuan sehinggalah suspek masih meminta memasukkan sejumlah wang lagi atas pelbagai alasan.
"Mangsa mula mengesyaki ada sesuatu yang tidak kena selepas suspek masih tidak berpuas hati meskipun wang RM5,000 seperti yang diminta sebelum ini sudah dimasukkan ke dalam akaun.
"Yakin dirinya sudah ditipu, mangsa mengambil keputusan membuat laporan polis untuk tindakan selanjutnya," katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Md Din ketika dihubungi mengesahkan ada menerima laporan di Balai Polis Kuala Terengganu, di sini.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!